02 March 2022

SUAMI HELIZA HELMI BUAT LAPORAN POLIS - SCAMMER SEMAKIN MENJADI-JADI LEPAS KAHWIN



Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium yang juga suami kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman memberitahu pihaknya sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya.


Mahadi mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud. Katanya, kegiatan sindiket penipuan itu turut menjejaskan urusan syarikatnya selain mencemar reputasi dan nama baiknya.

"Setakat ini, saya belum dimaklumkan polis mengenai tindakan diambil. Namun kami difahamkan polis sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut. Saya minta tolong mangsa buat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengikut undang-undang. Tidak perlu gusar tindakan mereka akan menjejaskan saya kerana saya sendiri buat laporan polis," katanya.

Mahadi turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi syarikat melalui laman web www.aufmbz.com atau menghubungi 018-2550707/5752 untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

Klik untuk gambar besar



Jelas Mahadi lagi, beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook dan Instagram selain aplikasi sembang maya seperti Telegram untuk memperdaya mangsa. Akibatnya, beliau dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.

"Ini bukan kali pertama nama saya digunakan, malah semakin menjadi-jadi sejak saya mendirikan rumah tangga bersama Heliza. Berdasarkan maklumat mangsa, mereka ditawarkan skim pelaburan serendah RM300 dan menjanjikan pulangan antara RM10,000 sehingga RM18,000 hanya dalam tempoh tiga hari.

"Scammer ini menggunakan nama, gambar dan video ceramah saya kononnya saya adalah bos mereka. Kebanyakan mangsa yang terpedaya memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan tetapi selepas tiga hari, mangsa diminta memasukkan sejumlah wang lagi sebagai deposit bagi mendapatkan wang pelaburan mereka. Mangsa hanya menyedari ditipu apabila individu terbabit gagal dihubungi selepas memasukkan wang itu," katanya.

Mahadi berkata, setakat ini pihaknya mengesan kira-kira 100 akaun media sosial dan laman web yang menggunakan identitinya untuk mempromosikan skim pelaburan dan menipu mangsa. Antara akaun media sosial yang menggunakan namanya adalah Al Kahtifah Trust, Aurora Mining Team, Al-Dagang Malaysia, Bijak Labur, Madinah Mining, Pelaburan Al-Marzuqi, MoneyStone dan Xafee Trade.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: