03 March 2022

TABBY DOLLA TAMAT PENGAJIAN - BANGGA GENGGAM IJAZAH



Selepas tiga tahun belajar, anggota kumpulan Dolla, Tabby, 22, akhirnya telah menamatkan pengajian Sarjana Muda Kepujian Perniagaan dari Universiti Taylor.


Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam meluahkan rasa bangga dan lega pengajiannya selesai dan boleh memberi fokus sepenuhnya kepada karier seni.

"Memang mencabar kerana saya perlu pandai bahagikan masa dengan kerjaya selain penuhi kehadiran kuliah. Saya sangat bertuah rakan anggota Dolla, syarikat rakaman dan pihak universiti banyak memberi sokongan.

"Pengajian saya di universiti itu pun mendapat tajaan biasiswa bakat khas. Malah, pihak universiti sendiri memberi kata perangsang dan meminta saya lebarkan sayap dalam bidang hiburan.

"Kini saya bangga nak cakap saya sudah memiliki ijazah. Sekarang, saya lebih bebas dan masa untuk terus aktif serta kukuhkan kerjaya sebagai artis," katanya.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, Tabby enggan mensia-siakan ijazah itu dan menyimpan hasrat membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan.

"Memang dari dulu saya teringin nak buka perniagaan sendiri. Itulah perancangan peribadi saya sebenarnya apabila memilih untuk mendapatkan ijazah itu.

"Bagaimanapun, sekarang biarlah saya kembangkan lagi nama dan sambar pelbagai peluang baik untuk Dolla mahupun diri sendiri dalam bidang seni. Saya harap tahun ini lebih meriah lagi tawaran seni yang saya dapat," ujarnya.

Terdahulu, Tabby menerusi Instagram berkongsi dia sudah berjaya mendapatkan ijazahnya itu. Bagaimanapun, menurutnya acara konvokesyen belum diadakan secara rasmi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: