14 April 2022

ABANG YASIN: "KAMI SEKELUARGA TETAP BERADA DI BELAKANG 100 PERATUS SEBAB DIA ADALAH PESAKIT, BUKAN PENJENAYAH"



"Kunjungan kami sekeluarga ke kediaman Syed Saddiq semalam berikutan kiriman salam Yasin terhadap YB sebelum ini. Dalam pertemuan itu, YB bertanya tentang keadaan Yasin dan kebanyakan perbincangan banyak memberikan fokus tentang medical cannabis (perubatan ganja).


"Seperti yang dikongsikan YB di Instagramnya, di situ beliau sudah simpulkan (perjuangan untuk meluluskan penggunaan ganja untuk perubatan)," jelas abang kepada penyanyi Yasin Sulaiman, Zain Sulaiman.

Kata Zain, keprihatinan YB Syed Saddiq bertemu dengan mereka sekeluarga seperti yang dikongsikan di Instagram semalam adalah berhubung kiriman salam adiknya terhadap ahli politik itu sebelum ini.

Terdahulu, ketika dibawa ke mahkamah penyanyi lagu 'Mimpi Laila' itu ada menyampaikan kiriman salam terhadap Syed Saddiq yang sebelum ini lantang memperjuangkan penggunaan ganja dalam perubatan.

Klik untuk gambar besar



Zain bersama ibu dan bapanya berkunjung ke kediaman Syed Saddiq di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor seperti perkongsian yang dibuat Ahli Parlimen Muar itu di laman Instagramnya semalam. Posting tersebut pantas meraih perhatian netizen apabila mendapat lebih 34,000 tanda suka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini Yasin yang kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Zain menjelaskan pihak peguam adiknya sedang berusaha agar Yasin, 47, segera mendapatkan rawatan psikatri bagi merawat penyakit bipolar kronik yang dihidapinya sejak tahun 2009.

"Peguam sudah menulis surat secara rasmi kepada pihak penjara untuk Yasin mendapatkan rawatan psikatri dan sekarang kami masih menunggu sebab pihak penjara ada prosedur mereka berhubung perkara ini.



"Kami sekeluarga tetap berada di belakang (menyokong) Yasin 100 peratus sebab dia adalah pesakit, bukan penjenayah. Mungkin ramai yang tidak tahu latar belakang kesihatan dia yang telah menghidap bipolar kronik sejak 2009 dan saya percaya ramai tidak faham bipolar itu macam mana.

"Kalau ramai yang faham, mesti mereka dapat menilai keadaan sebenar. Pesakit bipolar perlu sentiasa mendapatkan rawatan untuk stabilkan keadaan mereka," tuturnya.

Ketika ditanya mengenai anak-anak Yasin iaitu Sameer dan Malaika hasil perkongsian hidup dengan Sharifah Eena Houzyama Syed Hassan, Zain menjelaskan kedua-dua saudaranya itu ada menyatakan perasaan rindu pada bapa mereka.

"Mereka tabah menghadapinya tapi siapa yang tak rindu bapa dan bapa mana yang tidak rindukan anak mereka. Saya memang sentiasa update mereka apa sahaja perkembangan Yasin dari masa ke semasa," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: