14 April 2022

"SEMUA DAH SELESAI..." - BEN AMIR SETUJU BAYAR PAMPASAN RM100,000 SECARA ANSURAN KEPADA SYARIKAT PRODUKSI



Isu antara pelakon Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 32, dengan syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd yang tercetus sejak tahun lalu akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.


Ben bersetuju untuk membayar RM100,000 kepada syarikat terbabit berhubung kes saman pelanggaran kontrak membabitkannya ketika membintangi drama 'Demi' di Inverness, Scotland pada awal Mac 2020.

Persetujuan berkenaan dicapai kedua-dua pihak selepas Ben bersetuju untuk membayar RM100,000 kepada syarikat produksi berkenaan. Hakim, Tasnim Abu Bakar merekodkan perintah persetujuan kedua-dua belah pihak dalam prosiding kes hari ini.

"Sepatutnya, hari ini adalah perbicaraan hari pertama kes saman itu, namun kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes. Ben akan membayar RM100,000 dengan lima kali bayaran secara ansuran sebanyak RM20,000 bermula 10 Mei ini sehingga jumlah itu selesai.

"Sekiranya defendan (Ben Amir) gagal membayar RM100,000, maka defendan perlu membayar jumlah asal dituntut plaintif (Elisa Vision) sebanyak RM211,477 dikembalikan. Mahkamah juga merekodkan defendan menarik balik pernyataan tuntutan balas yang dikemukakan terhadap plaintif," katanya.

Sementara itu, Ben ketika ditemui di luar mahkamah enggan ditemubual pihak media dan hanya menjawab ringkas: "Semua dah selesai. Itu saja, no komen," ujarnya yang turut menjawab 'cara baik' ketika ditanya bagaimana dia menyelesaikan isu itu.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, penerbit Elisa Vision Sdn Bhd, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain ketika ditemui bersyukur apabila kes itu dapat diselesaikan secara baik: "Saya bersyukur kes ini dapat diselesaikan secara baik. Saya pun sudah memaafkan dia di atas apa yang berlaku. Pada saya, ini berkat Ramadan.

"Dia pun orang yang baik dan saya tiada masalah dengannya kerana semua sudah selesai. Pihak syarikat saya juga sedia untuk terus bekerjasama dengannya di masa akan datang. Industri hiburan kita ini pun kecil. Jadi, jika dia sudi mahu bekerjasama lagi, saya tiada masalah," tuturnya.

Terdahulu, kemelut membabitkan Ben dan syarikat produksi itubermula pada 27 Mac 2020 apabila dia didakwa pulang ke Malaysia secara sendiri meninggalkan semua kru produksi dan pelakon.

Tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri kerana dia tidak menghabiskan penggambaran drama berkenaan yang dijalankan di Scotland.

Difahamkan, Ben juga enggan menyiapkan baki penggambaran drama itu di Malaysia dan tempatnya terpaksa digantikan dengan pelakon lain serta produksi perlu membuat penggambaran semula.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: