25 April 2022

AL-FATIHAH - IBU ACHEY KEMBALI KE RAHMATULLAH PADA 10 RAMADAN TERAKHIR



Takziah diucapkan kepada pelawak Achey atas pemergian ibu tercinta, Ngaisah Hassan, 74, yang meninggal dunia jam 12.46 tengah malam tadi iaitu pada 10 Ramadan terakhir akibat kanser pankreas. Berbaki seminggu menyambut ketibaan Aidilfitri, berita duka tersebut dikongsikan Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah menerusi laman Instagram.


"Ya Allah. Permudahkan perjalanan mak di sana. Kami reda ya Allah. Saya atas motosikal lagi, baru balik dari kerja. Mak baik. Mak pergi di bulan yang baik (Ramadan). Semoga mak jalani waktu yang terindah. Al-Fatihah," tulisnya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Achey turut memaklumkan ibunya menghadap Ilahi pada malam yang tenang sambil memandu ke kampung halamannya yang terletak di Segamat, Johor untuk urusan pengebumian ibunya: "Mak pergi malam yang tenang," tulisnya lagi.

Arwah ibu Achey telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Usaha Jaya, Labis Johor. Difahamkan, Ngaisah baru beberapa hari menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan kurang baik.

Klik untuk gambar besar



Berita sedih itu turut dikongsi oleh adik kepada Achey iaitu Natasha Hamzah. Menurut Natasha, arwah pada awalnya menerima rawatan di Hospital Segamat sejak awal April namun telah dipindahkan ke HSA untuk mendapatkan khidmat doktor pakar.

"Arwah meninggal di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Usaha Jaya, Labis Johor. Kalau ikutkan, niat nak kebumikan sebelum solat zohor. Asalnya dirawat di Hospital Segamat tapi dipindahkan ke HSA sebab proses rawatan mak tak ada di Hospital Segamat dan doktor pakar ada di HSA," ujarnya.

Dalam pada itu, isteri kepada Achey iaitu Nor Hasanah Yahaya menerusi Instagram turut bersedih dengan pemergian arwah ibu mentuanya yang meninggal dunia. Sentiasa akan mendoakan ibu mentuanya, Hasanah atau lebih dikenali sebagai Anne turut berkongsi video memperlihatkan arwah memberi lambaian terakhir untuk mereka sekeluarga.



"Al-Fatihah buat ibu mentua saya Hajah Ngaisah Hassan. Semoga mak tenang di sana... mak pergi pada 10 Ramadan terakhir. Semoga mak dipermudahkan segalanya. Lagi berapa hari saja mak nak raya... terima berita ini.

"Lambaian terakhir mak untuk kami sekeluarga. Kami akan merindui mak. Pada 23 Ramadan mak pergi meninggalkan kami semua. Allah lebih sayangkan mak. Semoga mak tenang di sana di samping arwah abah.

"Kami akan selalu mendoakan mak. Kami dalam perjalanan jumpa mak buat kali terakhir. Ciuman terakhir kami untuk mak. Kami hilang satu lagi doa yang paling berharga dalam hidup kami," tulisnya.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: