05 April 2022

BERSYUKUR DAPAT TAJAAN BERTERUSAN - PUTRA AMARIS HARAP USAHA HULURKAN BANTUAN TIDAK BERAKHIR



"Dengan izin Allah, satu lori setengah penuh barang dan satu van daripada Adabi untuk beri kepada asnaf di sini. Memang luar biasa tajaan kami dapat dan saya memang tidak terkata-kata. Bukan saja asnaf, tapi ada 30 sekolah tahfiz menunggu kedatangan kami untuk beli baju raya mereka.


"Saya ragu-ragu juga kalau kami dapat tunaikan atau tidak, tapi saya yakin dengan aturan Allah," tutur pelakon Putra Amaris, 37, yang bersyukur apabila projek Infaq Ramadan kerjasamanya dengan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak) dibanjiri tajaan berterusan.

Amaris juga tidak menyangka sehari sebelum Ramadan dia mendapat bantuan keperluan serta makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini, kelmarin. Namun, Amaris berharap usaha hulurkan bantuan itu tidak berakhir di pelancaran Infaq Ramadan itu saja.

Klik untuk gambar besar



"Saya menyeru agar ramai pihak terus hebahkan projek ini kerana kami sasarkan untuk membantu anak-anak yatim, tahfiz, asnaf setiap hari sepanjang Ramadan ini. Kami masih perlukan kenderaan lebih banyak untuk membawa mereka menikmati pelbagai kegembiraan. Semoga bantuan ini akan membantu ramai lagi yang terkesan di luar sana," katanya.

Program Infaq Ramadan #samasamakenyang itu bertujuan meringankan beban golongan tidak berkemampuan. Selain itu, membantu perjuangan mereka untuk bangkit dari kejatuhan dan kesusahan yang menimpa.

Objektif utamanya adalah mensasarkan bantuan kepada 2,000 orang antaranya untuk golongan asnaf, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, anak tahfiz dan juga golongan B40.



Lebih membanggakan, inisiatif terbabit mendapat sokongan penuh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Dalam pada itu, Amaris juga menekankan mengenai program utama mereka iaitu Projek Penuhkan Peti Ais. Mereka sendiri akan pergi terus ke rumah-rumah asnaf dan golongan yang memerlukan.

"Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan 'ready to cook' dan banyak lagi. Selain itu, barangan keperluan asas juga kami akan beri sekali seperti beras, telur dan sebagainya.

"Inilah barang keperluan yang sentiasa ada sebagai bekalan di bulan Ramadan ini. Justeru, kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang ingin menyumbang adalah sangat dialu-alukan," katanya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: