05 April 2022

"SAYA SIMPATI... BAGAIMANAPUN SAYA TIDAKLAH SOKONG TINDAKAN YANG DILAKUKAN" - HAFIZ HAMIDUN DEDAH PERNAH TENGOK YASIN MENGAMUK



Penyanyi Hafiz Hamidun meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa sahabatnya, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman susulan penahanannya atas tuduhan mengedar dadah.


Pernah bekerjasama dalam penghasilan album sebelum ini, Hafiz, 38, berkata dia mengetahui Yasin berdepan masalah kesihatan dan sudah lama menderita penyakit bipolar.

"Saya simpati dengan nasib yang berlaku kepada Yasin sekarang ini. Kita tidak boleh faham dengan apa yang dia lalui selama ini. Bagaimanapun saya tidaklah menyokong tindakan yang dilakukan sehingga ditahan pihak berkuasa," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Klik untuk gambar besar



Yasin yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan nasyid Brothers ditahan pada 24 Mac lalu kerana memiliki ganja. Susulan itu dia didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu dan berdepan hukuman gantung mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Hafiz turut berkongsi pengalaman melihat Yasin mengamuk ketika berada di studio rakaman miliknya sekitar tahun 2018. Gara-gara insiden itu, Hafiz berkata, Yasin berulang kali memohon maaf apabila mereka bertemu. Hafiz bagaimanapun mengakui tidak menyimpan dendam kerana mengetahui masalah kesihatan yang dialami.

"Dia datang ke studio dan terus marah-marah sehingga mengeluarkan kata-kata kesat. Namun selepas kejadian itu dia akan sentiasa meminta maaf apabila kami berjumpa. Saya tidak pernah menyimpan dendam kerana tahu tentang masalah kesihatannya," ceritanya.


Hafiz dalam masa sama turut memohon orang ramai agar tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum, memandangkan kes ini masih lagi dalam perbicaraan.

"Biarlah mahkamah yang menentukan. Jika baik pengakhirannya saya bersyukur, namun kalau sebaliknya kita perlu ambil iktibar dari apa yang telah berlaku. Tidak adil untuk kita sendiri meletakkan hukuman kerana seperti yang saya kata, apa yang dilalui oleh Yasin hanya dia sahaja tahu.

"Ada juga rasa sedikit kesal apabila nama nasyid dikaitkan dengan perkara ini. Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan supaya muhasabah diri dan bertanya kembali adakah kita juga terlibat dengan perkara yang tidak betul," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: