21 April 2022

BIMBANG KEJADIAN PUKUL BERULANG - BEKAS ISTERI TERPAKSA BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP RADHI OAG



"Ya, memang betul saya buat laporan polis. Saya buat pun demi keselamatan saya, takut benda sama berulang lagi. Saya pun tak boleh nak kongsi lebih sebab kes masih dalam siasatan polis.


"Seperti dalam laporan, dia bertindak begitu selepas saya tak nak ambil gambar swafoto bersama. Dia tolak badan saya," demikian kata bekas isteri penyanyi Radhi OAG iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri yang mengakui dia terpaksa membuat laporan polis terhadap bekas suaminya itu kerana bimbang kejadian sama berulang dan sebagai langkah berjaga-jaga serta faktor keselamatan.

Berkongsi mengenai insiden yang berlaku pada Selasa lalu itu, Ayu, 27, mendakwa bekas suaminya bertindak kasar terhadapnya selepas permintaan untuk bergambar secara selfie ditolak. Dakwa wanita tersebut, Radhi secara tiba-tiba bertindak menolak badannya selepas permintaan duduk di sebelah untuk bergambar bersama tidak dilayan.

Menerusi laporan media pada Rabu, seorang penyanyi berusia 45 tahun ditahan di kawasan kediamannya di Kota Damansara selepas dipercayai memukul bekas isteri. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah kira-kira 2.29 petang.

Klik untuk gambar besar



Tambah Mohamad Fakhrudin, kejadian itu berlaku selepas terdapat perselisihan faham gara-gara mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit. Katanya, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan di kediamannya dan hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

Dalam pada itu, Ayu turut berharap Radhi tidak akan mengulangi perbuatan tersebut demi kebaikan anak-anak mereka yang kini sudah bersekolah.

"Saya berharap sangat dia tidak mengulangi perbuatan itu. Kalau tak nak fikir diri sendiri, fikirlah anak-anak. Mereka dah besar dan faham apa yang terjadi. Kesian mereka kalau tahu bapanya berkelakuan seperti itu. Anak-anak pun dah bersekolah, bimbang nanti mereka malu dengan kawan-kawan," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.


Sementara itu menerusi laporan The Star pada Khamis, suspek dijangka akan berdepan tuduhan memukul bekas isteri di mahkamah pada Jumaat, 22 April. Menurut Mohammad Fakhrudin, penyanyi tersebut sudah direman selama dua hari sejak Rabu.

Untuk makluman, Ayu dan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah dan Muhammad yang kini masing-masing berusia tujuh dan enam tahun.

Pada 16 Julai 2019, mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, memutuskan pasangan itu sah bercerai talak satu selepas Radhi melafazkan talak di rumah mereka kira-kira jam 4.20 pagi pada 25 Mac 2019.

Sebelum perkahwinan bersama Nur Shaira Ayu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga bersama Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 17 tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: