21 April 2022

ISU ANAK BERBINTIKAN 'ABDULLAH' - HALIM OTHMAN TAMPIL JELAS, KATA ADA RAHMAT DISEBALIKNYA



Berhubung identiti anak tunggalnya juga pelakon serta pengacara, Myra Natasya Abdullah yang tidak berbintikan namanya, pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman, 56, menjelaskan dia bersama bekas isteri, tidak sampai setahun hidup bersama selepas berkahwin pada 1994 dan apabila Myra dilahirkan pada 1995, mereka sudah tidak duduk sebumbung dan segala urusan anak dibuat oleh ibunya.


"Memang saya tak daftarkan perkahwinan di Malaysia, sebab rumah tangga itu dah tak aman dan saya bersama ibu Myra akhirnya membawa haluan hidup masing-masing. Masa daftarkan itu memang bekas isteri letak nama bapa Myra, Abdullah sebab perkahwinan kami di Thailand berkenaan tidak didaftarkan di Malaysia dan ia dianggap tidak sah.

"Ketika itu, saya juga kata kepada bekas isteri tidak perlu besarkan cerita yang Myra anak saya, sebab tak mahu jadi 'complicated' dan dia akan terganggu," ujar Halim yang turut berkata anaknya itu memang dijaga sepenuhnya oleh bekas isteri sejak mereka berpisah.

Tambahnya lagi, disebabkan sibuk dengan kerjaya pada 1996 dan 1997, maka urusan perceraian dapat diselesaikan di Thailand pada 1998 selepas Myra berusia tiga tahun.

Klik untuk gambar besar



Ditanya juga mengenai rasa kesalnya, Halim berkata itu memang tidak dapat dinafikan kerana melihat anak sendiri yang berbintikan Abdullah dan pada mulanya, dia memang berasa kurang selesa dan tak berpuas hati.

"Tetapi, apabila dah tersedar sekarang, saya terimalah hakikat Myra binti Abdullah itu dan percaya ada rahmat di sebaliknya. Sesungguhnya, Allah Maha Tahu. Malah, bila mana saya fikir-fikirkan lagi, kadang-kadang nama ini apabila kita terima dengan ikhlas binti Abdullah itu mungkin ia juga membawa banyak tuah kepada Myra sekarang.

"Alhamdulillah, saya reda dengan nama Myra binti Abdullah itu dan dengan penjelasan ini kisah kami boleh ditutup dan sekarang 'move on' untuk kehidupan seterusnya. Malah, saya juga bersyukur hubungan dengan ibu Myra juga semakin baik," tuturnya.


Mengulas juga mengenai komen netizen, Halim berkata dia gembira dan kagum apabila secara keseluruhannya kisah Myra diterima baik oleh orang ramai. Katanya, walaupun ada segelintir netizen yang membuat spekulasi, tak mengapa sebab semua orang ada hak atas pandangan sendiri.

"Saya terima semua komen yang baik-baik ditulis itu. Saya juga tak marah dengan komen yang sebaliknya daripada netizen. Begitu juga dengan penjelasan saya ini, terpulanglah kepada mereka nak terima atau mahu fikir apa. Terserah," katanya.

Terdahulu, Myra yang juga bekas peserta Dewi Remaja 2019 dan pernah menjadi pengacara Didik TV dan pelakon drama Republik Gombak di TV3 itu sebelum ini mendedahkan dia adalah anak Halim Othman selepas 27 tahun 'dirahsiakan'. Difahamkan, Myra atau nama sebenarnya, Yusmyra Natasya adalah anak Halim bersama bekas isteri, Yusnita Omar, 47.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: