14 April 2022

"KAMI TAK ADA RUGI APA-APA, TAPI KAMU KENA JAGA NAMA BAIK KAMU" - RAHILA SEDIA BEKERJASAMA DENGAN SEMULA BEN AMIR



"Saya harap apa yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar oleh penggiat seni di luar sana agar kena hormati kontrak dan semua orang di dalam satu 'team' itu. Sebab, awak seorang tak akan jadi apa-apa. Awak kena ingat, awak naik hari ini, esok awak boleh terguling. Kami di sini 'production' seadanya sampai hari ini, kami masih di sini.


"Sebab dari dulu, kami tengok artis yang meletup-letup keluar masuk, keluar masuk tapi kami tetap di sini," ujar pengarah drama 'Demi', Rahila Ali yang berharap isu membabitkan pelakon Ben Amir dapat dijadikan iktibar oleh penggiat seni agar sentiasa menghormati kontrak dan semua orang di dalam satu pasukan produksi itu.

Ditemui di luar mahkamah selepas selesai isu kes saman pelanggaran kontrak membabitkan Ben Amir dengan syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Sivil, hari ini, Rahila, 48, berkata ia kerana jika awak seorang tidak akan menjadi apa-apa, berikutan kemunculan pelakon di dalam dunia seni sentiasa bersilih ganti atau datang dan pergi.

Menurut Rahila, orang yang bekerja di belakang tabir sepertinya dan pasukan produksi tidak akan rugi apa-apa kerana mereka tetap ada di dalam industri.

"Kami tak ada rugi apa-apa. Tapi, kamu yang di depan itu (pelakon) kena jaga nama baik kamu. Saya tidak kecewa pun, sebab apa yang berlaku sudah berlaku. Tapi, kita kena belajar dari kesilapan diri.

"Saya masih sedia bekerjasama dengan Ben pada masa akan datang sebab tak ada apa-apa masalah pun dengan dia. Cuma, tak tahulah dia sudi atau tidak lagi nak bekerja dengan saya.

"Saya dah 21 tahun dalam industri, tak pernah ada masalah kerja dengan mana-mana pelakon sebelum ini termasuk dia (Ben). Saya okey saja jika dia pun masih ingin bekerjasama," katanya lagi.

Klik untuk gambar besar



Mengimbas kemelut yang berlaku, Rahila berkata, semua terjadi selepas 'team' penggambaran drama 'Demi', di Inverness Scotland balik ke Malaysia akibat pandemik C0V1D.

"Saya termasuk 14 kru produksi lain positif C0V1D. Disebabkan Ben balik awal dari kami, saya ada cuba hubungi dia untuk memintanya membuat ujian calitan. Tapi, dia tak jawab panggilan saya dan juga membalas mesej. Sejak itu, memang saya tak berhubung dengan dia lagi, sehinggalah produksi memanggilnya untuk datang ke lokasi menyiapkan baki penggambaran drama 'Demi' pada tahun lalu.

"Tapi dia enggan turut serta dan tak mahu lagi datang untuk penggambaran. Jadi, dengan apa yang berlaku, saya terpaksa buat penggambaran semula untuk lebih 80 babak babitkan Ben dan menggantikan tempatnya dengan pelakon lain," jelasnya.

Ujar Rahila, semua babak di Scotland yang babitkan Ben tidak boleh diguna dan kena buat penggambaran semula dengan pelakon lain. Tambahnya lagi, tahun lalu juga ada dibuat proses mediasi antara pihak produksi dan Ben untuk penyelesaian isu itu, tapi tidak berjaya.

Sehubungan itu, pada prosiding mahkamah hari ini, Ben selaku defenden akhirnya bersetuju membayar RM100,000 kepada syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd yang juga plaintif untuk isu pelanggaran kontrak berlaku.

Dalam prosiding itu, Ben akan membayar RM100,000 dengan lima kali bayaran secara ansuran sebanyak RM20,000 bermula 10 Mei ini sehingga jumlah itu selesai.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: