24 April 2022

KENA BLOCK VIDA LEPAS BUAT PENDEDAHAN, TAK SEMPAT UCAP TERIMA KASIH - QUSH TEGAS TAK TERLINTAS NAK POPULAR



"Dari dahulu lagi saya tidak pernah ada kontroversi dan tidak minat dengan cerita sensasi. Apa yang saya kongsikan adalah untuk memberi penjelasan tentang perkara sebenar.


"Tak perlu untuk meraih populariti kerana saya ada pengikut tersendiri di laman sosial," kata bekas pembantu peribadi (PA) kepada usahawan Datuk Seri Vida iaitu Qush yang menjelaskan, dirinya bukanlah seperti yang diperkatakan apabila dituduh sengaja mahu mencipta kontroversi dan meraih perhatian pengikut media sosial.

Qush atau nama sebenarnya Syed Qusyairi Syed Mahmud Iskandar, 26, juga menegaskan dia tidak gila glamor kerana sudah mempunyai kelompok pengikut sendiri di media sosial. Tambahnya, pendedahan tentang tidak lagi bekerja dengan Vida adalah untuk menjelaskan situasi sebenar.

Klik untuk gambar besar



Qush berkata demikian ketika ditanya tentang pendedahannya tidak lagi bekerja dengan Vida. Malah dia memberitahu apa yang berlaku selama ini hanya lakonan dan tidak menerima sebarang surat perjanjian daripada usahawan sensasi itu.

Susulan itu, rata-rata netizen mengecam kedua-dua pihak dan menganggap mereka sengaja mencipta drama di laman sosial. Berdepan banyak soalan, Qush memberitahu ia tidaklah memberi satu tekanan besar dan bersyukur kerana orang sekeliling masih memberi sokongan kepadanya.

"Apabila ada yang bertanya, saya akan jawab supaya orang faham situasi sebenar dan tidak lagi mengatakan saya PA kepada Vida selepas ini. Walau berdepan dengan kontroversi dan menjawab banyak soalan, saya tidaklah rasa tertekan.



"Saya jalani hidup seperti biasa dan senang apabila sudah jelaskan perkara sebenar. Saya bersyukur keluarga dan rakan-rakan sentiasa menyokong. Malah pengikut di media sosial juga sangat memahami," jelasnya.

Sementara itu, apabila ditanya tentang usaha untuk memulihkan hubungan dengan Vida, kata Qush akaun media sosialnya telah disekat oleh wanita tersebut. Dia bagaimanapun akan mengambil kesempatan bertemu Vida bagi mengucapkan terima kasih.

"Kalau dia sudah unfollow saya di media sosial, bagaimana hendak berdamai? Saya tidak ada masalah dan tak mahu bergaduh dengan sesiapa. Mungkin satu hari nanti saya akan berjumpa sendiri Vida untuk mengucapkan terima kasih," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: