28 April 2022

LEBIH DUA BULAN DIRAWAT DI HOSPITAL AKIBAT ANGIN AHMAR - ISTERI MOHON DOAKAN KESEMBUHAN AZHARI ZAIN



Baru-baru ini, pengarah Azhari Zain sudah dibawa pulang ke rumah, selepas lebih dua bulan dirawat di hospital akibat serangan angin ahmar. Bagaimanapun, menurut isterinya iaitu Wahizatul Nureen Azmi, suaminya masih dalam proses pemantauan dan rawatan ketika ini.


"Terima kasih buat semua yang ambil berat mengenai keadaannya. Mohon doa kalian semua agar dia mendapat kesembuhan dan sihat seperti sedia kala. Lebih dua bulan juga dia terlantar di hospital. Suami masih lagi menjalani rawatan akibat penyakit angin ahmar yang menyerangnya," katanya.

Pengarah filem 'Hantu Dalam Botol Kicap' itu dibenarkan keluar dari hospital pada 18 April lalu. Kakaknya, Hasnah Md Zain juga meminta doa semua di samping rawatan serta pengambilan ubat-ubatan adik tersayangnya itu ketika ini.

Terdahulu, Azhari dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami pendarahan di kepala serta kesukaran menggerakkan kedua-dua belah tangannya pada sekitar Februari lalu.

Demi meringankan beban rawatan pengarah itu, Wahizatul berharap sumbangan ikhlas dapat disalurkan daripada orang ramai. Sumbangan boleh dibuat menerusi nombor akaun 12186020132190 (Bank Islam) atas nama Wahizatul Nureen Azmi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: