10 April 2022

MASIH DIRAWAT DI ICU - BOB LOKMAN KINI STABIL, DALAM PEMANTAUAN DOKTOR



"Keadaan saya hari ini, Alhamdulillah lebih baik daripada dua hari lalu yang mana bernafas pun sukar dan perut buncit kerana air terlalu banyak dalam badan. Buah pinggang saya bermasalah dan pemeriksaan pakar perlu dibuat. Masalah buah pinggang ini pun dah lama saya alami, tapi saya terlepas pandang merujuk kepada doktor pakar semula.


"Selama ini, saya sering jumpa doktor pakar jantung, paru-paru, darah dan kencing manis tapi, lupa pula pakar buah pinggang sampai dah ia dah teruk. Apapun, ini adalah ujian hidup saya dan reda menerimanya. Sekarang, saya harus melatih diri minum 500 mililiter air untuk tempoh 24 jam.

"Saya tak boleh minum banyak kerana buah pinggang tak boleh proses air keluar," tutur pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 58, mengenai keadaan kesihatan dirinya yang kini stabil walau masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang sejak Jumaat lalu.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman ketika dihubungi berkata, sekarang dia masih dalam pemantauan doktor, cuma kadar kemasukan oksigen sudah diturunkan serta empat liter air juga sudah dikeluarkan daripada badannya.

Tidak tahu sehingga bila dia akan dirawat di ICU dan seterusnya berada di hospital itu, Bob berkata dia menyerahkan segala rawatan kepada doktor selain terus berdoa memohon kesembuhan daripada Allah SWT.

"Mohon doakan saya kembali sihat semula. Semoga air berlebihan dalam badan saya ini dapat terus dikeluarkan lagi. Semalam pun saya timbang, berat 132 kilogram dan itu berat air. Sebelum ini, doktor pernah cakap kalau berat saya naik jadi 111 kilogram dan lebih, itu maknanya berat air dan buah pinggang bermasalah," katanya.

Terdahulu, Bob berhadapan masalah jantung dan dia pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah pada Disember 2020 lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: