11 April 2022

PENDAPATAN TERJEJAS SELEPAS SEKIAN LAMA TIADA 'JOB' - AMENG TETAP BERSYUKUR BOLEH FOKUS IBADAH



Vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail tetap meluahkan rasa syukur diberikan lebih ruang untuk menumpukan ibadah, meskipun tiada undangan nyanyian diterima pada Ramadan. Ameng berkata, Ramadan adalah masa untuk fokus dengan ibadah selepas beberapa bulan sibuk dengan tuntutan kerja seni.


"Dalam setahun, ada 12 bulan, jadi apa salahnya meluangkan masa selama sebulan untuk beribadah. Buat apa yang mahu kejar semuanya dalam bulan ini, sebab sebelum ini sudah sibuk bekerja. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang dan mahu sempurnakan ibadah saya sebaik yang boleh. Saya sendiri sememangnya merancang dari awal untuk fokus pada ibadah puasa, dari solat subuh di masjid, membaca al-Quran, terawih dan sebagainya.

"Sebab itu, tak mengapa jika tiada 'job' bulan ini sebab boleh fokus dengan ibadah. Jika ada tawaran menghadiri majlis iftar saya mahu tengok bagaimana dahulu. Sebab menyanyi ketika berbuka puasa, tidak seronok pula. Nak menyanyi ketika orang lain berseronok terawih, lagi tak seronok," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.

Justeru, Ameng berkata, dia tidak bersungguh-sungguh mencari tawaran kerja dalam bulan puasa, meskipun tidak menafikan pendapatannya agak terjejas selepas sekian lama tidak bekerja: "Memang pendapatan terjejas, jadi saya berjimat cermat sahaja. Saya pun ada simpanan sedikit, jadi saya bertahan menggunakan simpanan," katanya.

Kongsi Ameng, dia tidak menafikan tawaran kerja tidak banyak sejak industri kreatif dibenarkan beroperasi sekitar hujung tahun lalu. Bagaimanapun, Ameng berkata, dia tidak rasa terkilan apabila kurang tawaran kerja diberikan padanya.

Klik untuk gambar besar



"Saya belum menerima tawaran menyanyi meskipun penyanyi lain banyak menerima tawaran menjayakan showcase seperti kita boleh tengok. Ada konsert Datuk Jamal Abdillah, Zamani, Awie dan sebagainya. Tetapi, saya belum dipanggil, cuma saya ada tawaran menjayakan program Hiburan Minggu Ini terbitan RTM, tetapi dibatalkan berikutan salah seorang anggota Spring positif C0V1D.

"Jadi mungkin akan dibuat selepas Aidilfitri nanti. Jujurnya, saya hanya menerima satu hingga dua undangan selepas industri kreatif dibenarkan kembali beroperasi. Itu pun menghadiri forum di masjid. Tetapi, tidak mengapalah, saya duduk di rumah sahaja baca al-Quran.

"Saya tidak terkilan sebab mungkin belum giliran saya untuk dipanggil. Katakanlah, mereka menjemput penyanyi itu, takkanlah tahun depan penyanyi itu lagi. Jadi, mungkin tahun depan mengundang saya pula.

Sekarang, saya tunggu sahajalah bila tiba giliran, saya menyanyilah. Sebab sudah menyanyi selama 30 tahun, jadi saya sudah tahu aturannya bagaimana," tutur Ameng yang turut bersyukur menerima beberapa undangan nyanyian untuk rumah terbuka sempena Aidilfitri nanti.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: