04 April 2022

SELAMAT TIBA DI MALAYSIA - NOORDIN SAMBUT KEDATANGAN VOKALIS BARU SEARCH, DENDEN GONJALES



"InsyaAllah, kami akan mula berlatih pada Isnin ini (hari ini). Saya harap kami akan segera mendapat keserasian dan semuanya berjalan lancar. Denden dijangka berada di Malaysia sehingga penghujung Ramadan ini sebelum kembali semula ke Indonesia.


"Selepas Aidilfitri, dia akan datang lagi ke Malaysia untuk meneruskan aktiviti bersama Search," itulah kata pemain gitar Search, Noordin mengenai vokalis baru kumpulan itu iaitu Denden Gonjales yang kini telah selamat tiba di Kuala Lumpur kelmarin.

Ketibaan Denden, 38, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disambut oleh Noordin serta pemilik Home of Champions (HOC), Mozylir Mokhtaruddin dan seorang rakan.

Kehadiran bekas peserta program The Voice Bulgaria ini turut dirai dengan perasaan teruja oleh peminat dan kenalannya. Denden akan menyertai Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass) dan Pae (dram), di sini.

Menerusi laman Instagram, mereka menyifatkan Denden bertuah kerana dapat bersatu bersama Search yang mula dikenali di Indonesia menerusi lagu popular 'Isabella' pada 1989.

Denden yang diumumkan sebagai penyanyi baharu Search pada 31 Disember tahun lalu turut dinanti-nantikan peminat tanah air yang mengharapkan kumpulan legenda ini tampil dengan 'buah tangan' terkini mereka.

Noordin berkata, kehadiran Denden nanti tentunya akan memudahkan segala perancangan yang sudah dibuat untuk Search termasuk mengadakan konsert.

Menurut Noordin, konsert pertama Search bersama Denden akan diadakan pada Jun depan. Sepanjang Ramadan ini, Search juga akan terbabit dengan kerja dan aktiviti amal bersama dengan anak-anak yatim.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: