07 May 2022

ALI XPDC PASRAH TAK DAPAT JAMAH HIDANGAN KEGEMARANNYA KETIKA SYAWAL



"Saya teringin, tapi saya memang tak boleh makan beriya-iya. Kena elak makanan keras terutamanya. Tambah nak raya, teringin juga makan ketupat dan lontong. Apakan daya. Tengok kek pun semacam tiada perasaan.


"Tahun ini pun kerana keadaan kesihatan diri, saya tak boleh berpuasa. Saya juga harus meminum susu enam kali dalam sehari untuk membekalkan tenaga selain ubat hospital," demikianlah tutur vokalis kumpulan XPDC, Ali.

Bercerita tentang sambutan lebaran tahun ini, Ali akui pasrah apabila dia kini sudah tidak boleh menjamah hidangan kegemarannya setiap kali tibanya Syawal.

Dalam pada itu, Ali meluahkan rasa ralat apabila tidak dapat menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah yang dijadualkan pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini.

Ekoran keadaan kesihatannya yang masih belum pulih sepenuhnya, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 54, enggan menyusahkan pihak lain.

"Setiap kali dengar laungan bacaan solat terawih di surau berdekatan pun jadi sayu. Saya tak boleh melipatgandakan pahala di bulan puasa kerana keterbatasan diri. Isteri selalu memujuk hati akan teman saya ganti atau qada puasa nanti.

"Saya sepatutnya menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini. Pihak agensi kembara umrah sampai sanggup nak bawa saya ke sana walaupun perlu berkerusi roda. Tapi isteri pun cakap tak mahu susahkan mereka. Saya anggap tak ada rezeki.

"Saya pernah tujuh kali mengerjakan umrah. Dua kali daripada jumlah itu saya pernah ke sana bersama isteri iaitu pada tahun 2018 dan 2021," katanya kepada wakil media baru-baru ini.

Untuk makluman, Ali sebelum ini dimasukkan ke hospital pada Mac lalu apabila tiba-tiba jatuh sakit. Seminggu dirawat, kesihatan Ali merosot dan terpaksa ditidurkan akibat kesukaran bernafas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: