11 May 2022

ARIPAH MASIH DI ICU - NORMAH DAMANHURI TAK HENTI DOAKAN KAKAKNYA, HARAP ADA KEAJAIBAN



"Keadaan dia sangat membimbangkan juga dan saya memang tak berhenti berdoa. Minta kepada Allah, semoga dia panjang umur. Ini satu keajaibanlah. Kalau tengok, memang teruk. Semalam (kelmarin) saya pergi ke hospital dan dapat masuk seorang demi seorang secara bergilir. Saya panggil dan dia buka mata.


"Dia sedar, bila saya cakap dengan dia. Adalah dia respon dengan buka mata sedikit dan gerakkan tangan," itulah tutur pelakon Normah Damanhuri, 68, yang tidak putus berdoa untuk kakaknya yang juga pelakon Aripah Damanhuri, 73, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 25 April lalu.

Normah ketika ditemui berkata, keadaan kesihatan kakaknya itu boleh dikatakan sangat membimbangkan, namun dia tidak putus berdoa kepada Allah agar Aripah diberikan kesembuhan dan kembali sihat semula.

Pelakon berkaliber itu berkata, dia tetap berharap supaya kakaknya itu kembali sembuh seperti sedia kala. Normah berkata, selama kakaknya dimasukkan dan menerima rawatan lanjut di hospital, apa saja perkembangan kesihatan Aripah diketahuinya menerusi perkongsian terkini dari semasa ke semasa oleh anak saudara.

"Saya tetap berharap dia akan sihat, akan sembuh. Insya-Allah, itu semua kuasa Allah. Apapun, ia menjadi harapan saya juga anak-anaknya. Tak ada daya melainkan kita hanya menunggu dan terus berdoa.

Klik untuk gambar besar



"Saya pun baru dapat melawat dia sekarang apabila sejak Isnin lalu doktor memberi kebenaran ahli keluarga dah boleh melawat pesakit di hospital. Kalau tidak sebelum ini, tidak boleh lawat langsung," katanya.

Dalam pada itu, Normah berkata biarpun lega dengan perubahan positif itu namun dia tetap memikirkan keadaan kakaknya setiap malam: "Dia masih dirawat di ICU, jadi tak boleh ada penjaga... hanya sekadar datang melawat saja mengikut waktu yang ditetapkan. Tapi setiap malam saya teringin dan terfikirkan keadaan dia.

"Ikutkan sebelum ini tak boleh pun melawat... dua hari lepas baru boleh datang melawat. Saya ada tanya jururawat yang menjaga dia, macam mana keadaan dia... jururawat itu kata InsyaAllah boleh sembuh," ujarnya.

Terdahulu, Aripah dimasukkan ke HKL pada tengah malam 22 April lalu selepas paras oksigen menurun dan terpaksa ditidurkan. Bagaimanapun, pada 26 April lalu, keadaan kesihatan Aripah yang dimaklumkan oleh anaknya, Fais Nurpais Ismail sudah menunjukkan sedikit tindak balas positif sejak dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan juga, Aripah yang tiada sebarang penyakit sebelum ini diberitahu mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga mengganggu fungsi organ tertentu dalam badannya termasuk di bahagian buah pinggang.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: