11 May 2022

SEMANGAT SUKA BERDIKARI HAMID GURKHA JADI SUMBER KEKUATAN ISTERI & ANAK-ANAK



Semangat suka berdikari pelawak legenda, Hamid Gurkha meskipun usia sudah mencecah 90 tahun itu menjadi sumber kekuatan isteri dan anak-anaknya sehingga kini. Isterinya, Timah Abdul Hamid atau Mak Timah, 80, berkata, jati diri sebagai bekas anggota tentera, menjadikan Pak Hamid tidak putus asa walaupun semakin uzur.


Timah berkata, sama ada solat, berjalan di laman rumah, makan atau ke bilik air, semuanya Pak Hamid mahu lakukan sendiri, namun dia dan anak-anak tetap memantau dan membantu. Timah berkata, selain solat, Pak Hamid akan bangun bersahur serta berpuasa seperti biasa. Malah, mahu membuat pelbagai kerja termasuk mengemas rumah.

"Pak Hamid hanya sakit C0V1D dan sakit tua. Tetapi dalam keadaan sakit pun boleh ke bilik air sendiri, hendak dipimpin dia tak bagi walaupun selalu jatuh tersungkur. Dia kuat semangat sebab dia bekas tentera, semangat dia memang kuat walaupun dalam keadaan sakit. Dia tidak mahu susahkan kami, selagi boleh bangun bergerak dia usahakan sendiri.

"Kalau dia tidak boleh tidur malam, dia kawad ringkas untuk lancarkan perjalanan darah dan keluarkan peluh. Apabila penat dia akan tertidur sambil kami picit kakinya. Alhamdulillah syukur (bila melihat semangat dia masih kuat sampai hari ni). Anak-anak juga sentiasa doakan bapanya sihat.

"Semangat yang ada pada Pak Hamid membuatkan saya dan anak-anak kuat semangat dan sentiasa mendoakan Pak Hamid. Dia pun selalu sangat cakap, tidak mahu susahkan orang selagi dia terdaya dan mampu buat. Dia kata 'esok bila aku sudah tidak mampu, terpulanglah kepada kamu semua'," ujarnya.

Sementara itu, Hamid melahirkan kesyukuran kerana masih ramai mengingati, menziarahi dan mendoakan kesihatannya. Walaupun mempunyai masalah pendengaran, Hamid dapat menjawab pertanyaan wartawan dengan baik dan ceria.

"Kalau raya, saya makan saja apa yang dimasak isteri dan anak-anak. Semua makan, tiada makanan kegemaran khas. Apa yang saya hendak makan, saya makan. Alhamdulillah, saya sihat. Boleh bangun, boleh berjalan, boleh solat. Ramai juga datang beraya tetapi saya tidak pergi beraya... Doakan saya iya," tuturnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim menziarahi Hamid dan menyerahkan sumbangan pada program ziarah Finas.

"Kunjungan ke rumah Pak Hamid ini adalah sebahagian lawatan saya mewakili Finas untuk menghargai dan mengiktiraf pelakon veteran yang banyak memberi sumbangan kepada industri. Selain menyantuni untuk bertanya khabar serta melihat keadaan semasa mereka, Finas peka dengan keadaan artis veteran sekarang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keadaan Hamid hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan Covid-19, dua bulan lalu. Namun, bintang yang mula dikenali menerusi filem 'Panglima Badol' pada 1978 itu tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur pada usia menginjak 90 tahun.

Hamid dan Timah mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya matanya, namun dua daripadanya meninggal dunia. Hamid juga dikurniakan 32 cucu.

Hamid kali terakhir berlakon menerusi filem 'Superbike The Movie' bersama Kamal Adli, Shiqin Kamal dan Fizo Omar pada 2019. Anak tidak menggalakkan Hamid berlakon berikutan masalah pendengaran dihadapi biarpun penglihatan masih baik untuk membaca skrip.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: