30 May 2022

BENTUK BADAN DIHINA, DIMINTA BERHENTI MAKAN - ALMY NADIA ANGGAP INDIVIDU ITU KURANG KASIH SAYANG



"Sis, tolong berhenti senaman otot rahang awak. Tolong berhenti makan sis. Badan kau sendiri gemuk kenapa nak promosi weight loss untuk followers kau? Sis, tak malu ke badan macam itu lagi nak upload video tengah makan," tulis seorang individu yang memberi komen berunsur hinaan terhadap bentuk badan pelakon Datin Almy Nadia.


Bukan sekali tapi sudah beberapa kali isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz ini menerima komen hinaan daripada netizen yang menyentuh mengenai bentuk badannya.

Berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram, Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah memuat naik komen seorang individu yang mengutuk fizikalnya serta melakukan body shaming.

Dalam perkongsian dimuat naik pada Isnin, netizen berkenaan mempersoalkan tindakan aktres itu mempromosikan makanan tambahan untuk mengurangkan berat sedangkan badannya berisi. Malah Almy juga berkongsi paparan skrin gambar akaun Instagram individu tersebut yang merupakan seorang wanita.



Rata-rata netizen menganggap individu tersebut sengaja ingin meraih perhatian dan meminta aktres itu agar membuat laporan polis atas kesalahan melakukan buli siber.

Menjawab komen hinaan itu, pelakon berusia 36 tahun ini tetap tenang dan mengajak orang ramai mendoakan agar individu tersebut diberikan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Tidak kecil hati dengan kritikan berkenaan, Almy berkata pemilik akaun Instagram itu kemungkinan tidak mendapat kasih sayang yang cukup selain menjalani kehidupan yang menyedihkan.


"Posting ni mungkin sekejap saja, lepas itu kita padam. Cuma nak minta semua tolong berdoa agar yang menulis ni bahagia dunia dan akhirat. Semoga pemilik IG ini dapat reda dengan apa yang dia lalui.

"Mungkin zaman makin moden, pemilik IG ini kurang kasih sayang dan kehidupan dia sedih sangat. Jom kita berdoa agar dia bahagia dunia dan akhirat... minta semua doa yang baik-baik, tolong. Saya tak kisah tahu... saya sangat-sangat okay saja," ujarnya.

Sebelum ini, Almy yang kerap membuat ulasan makanan di laman sosial meluahkan rasa sedih apabila menerima kata-kata kesat daripada beberapa individu di laman sosial. Sehinggakan ada mengaitkan keguguran yang dialami ketika itu berpunca pengambilan makanan untuk ulasan di media sosial.

Untuk makluman, Almy pernah alami keguguran ketika usia kandungannya 14 minggu pada Februari 2020. Almy mendirikan rumah tangga dengan Fizz pada 26 April 2014 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata perempuan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: