17 May 2022

BERI PELUANG AYU BERCINTA DULU - NOURUL PUJI ANAK MARIA FARIDA, AKUI BELUM ADA PERBINCANGAN KELUARGA



"Ayu dan Mizan baru kenal empat bulan. Biarlah mereka kenal-kenal dahulu. Apa yang Allah takdirkan, InsyaAllah kami terima. Doakan yang terbaik saja. Tak boleh nak komen lebih-lebih sebab baru lagi dan kami terkejut juga yang kata bakal berbesan. Belum ada apa apa perbincangan pun. InsyaAllah.


"Bagi mereka masa... mereka yang bercinta, kami mak-mak sokong saja. Asalkan anak-anak gembira dan bahagia. Ayu dan Mizan baru kenal empat bulan. Biarlah mereka mengenali hati budi satu sama lain dulu. Biar mereka kenal dahulu bagi mencari keserasian, kalau ada jodoh semestinya sebagai ibu kami gembira.

"Mizan adalah seorang budak lelaki yang sangat baik. Buat masa ini, belum pernah lagi ada mana-mana lelaki yang datang kepada saya menyuarakan hasrat serius berkawan dengan anak saya," itulah ujar penyanyi Nourul Depp yang menjelaskan hubungan cinta anak gadisnya, Ayu Nazirah dengan anak lelaki pelakon Datin Seri Maria Farida iaitu Mizan Ashley, baru saja terjalin sejak empat bulan lalu.

Klik untuk gambar besar



Nourul memuji keperibadian anak lelaki Maria yang menyuarakan hasrat untuk berkawan secara serius dengan anak perempuannya. Nourul bagaimana pun menjelaskan belum ada sebarang perbincangan untuk ke fasa seterusnya berhubung percintaan anaknya itu.

Sebelum ini, Nourul menerusi laman Instagram miliknya ada berkongsi foto anak sulungnya dengan Mizan. Perkongsian Nourul itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya teruja keluarga penyanyi itu dengan Maria bakal bersatu.

Terkejut dengan dakwaan bakal berbesan dengan Maria, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab memohon agar netizen memberi ruang dan masa untuk anak mereka mengenali satu sama lain terlebih dahulu memandangkan mereka baru saja berkenalan.



"Selepas memuat naik gambar Ayu dan Mizan, berderu-deru komen yang ditinggalkan oleh netizen dan rakan-rakan. Saya sendiri tidak menyangka kak Maria meninggalkan komen menyebut mengenai ibu mentua (Mother In Law).

"Kami berdua memang gembira mereka berjumpa dan berkawan. Kami juga turut meluangkan masa bersama-sama dan berlapang dada sekiranya ada jodoh panjang untuk berbesan. Ayu dan Mizan kebetulan kedua-duanya anak sulung, jadi perhatian dan kasih sayang yang diberikan itu lebih," katanya.

Dalam pada itu, Nourul yang kini menetap di Bali, Indonesia ini memberitahu hubungan dia dengan Maria semakin rapat biarpun pernah terpisah disebabkan kekangan kerja serta urusan peribadi.



"Saya hormati kak Maria sebagai senior. Memang kenal tapi dah lama terpisah kerana urusan kerja dan peribadi masing-masing. Cuma sekarang makin rapat. Sebagai kenalan artis saya memang meminati dia sebagai wanita yang kuat dan cantik. Pertemuan antara keluarga tu kami jumpa sebab anak-anak bercinta.

"Kami sesama artis memang kenal. Jadi kami jumpa la. Kak Maria pun ada ke Bali untuk holiday. Itu yang merapatkan lagi hubungan kami," tutur penyanyi berusia 44 tahun itu.

Untuk makluman, Ayu merupakan anak sulung Nourul dengan bekas suaminya yang juga seorang komposer terkenal iaitu Ajai. Sementara itu, Nourul turut menasihati anak perempuannya agar mengenali lebih dekat Mizan sebelum membawa hubungan mereka ke arah yang lebih serius.

"Kenal sebaiknya dulu. Berpasangan ni nak kena adjust macam-macam dari segi karakter dan emosi. Mula jatuh cinta semua indah-indah belaka. Manusia ada banyak kekurangan. Mesti kena kenal satu sama lain dan ada pemahaman serta penghormatan. Lepas tu boleh berpanjangan. Cinta saja tak cukup. Harus seimbang karakter, peribadi, pekerjaan (kewangan) mental dan fizikal," katanya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: