08 May 2022

DAPAT 'OFFER' RAKAM LAGU DENGAN LABEL DARI AMERIKA SYARIKAT - ASHIRA LUAH SYUKUR, KESEDIHAN TIDAK DAPAT KE WCOPA TERUBAT



Sebelum ini penyanyi Ashira meluahkan rasa sedih terpaksa menarik diri daripada pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada Julai depan kerana gagal mengumpul dana tajaan sebanyak RM30,000.


Namun kesedihan Ashira tidak dapat bertanding di pentas WCOPA terubat apabila menerima tawaran merakam lagu dengan sebuah syarikat rakaman dari Amerika Syarikat.

Tawaran tersebut merupakan hadiah selepas Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan iBallin yang diadakan secara atas talian baru-baru ini.

Katanya, dia akan diberikan sebuah lagu yang dicipta oleh komposer dari sana manakala proses rakaman dilakukan di Malaysia.

Klik untuk gambar besar



"Syarikat tersebut berpangkalan di AS. Lagu yang diberikan adalah ciptaan komposer dari sana dan proses rakaman akan diuruskan oleh seorang penerbit muzik di sini.

"Masih belum ada perbincangan lanjut kerana saya sibuk dengan aktiviti bersama keluarga menyambut raya. Mungkin akan berjumpa pihak terbabit dalam masa terdekat.

"Saya menarik diri dari menyertai WCOPA kerana tidak ada penajaan untuk ke sana. Walaupun masih boleh mencari penaja, tetapi saya perlu membayar penalti sebanyak kira-kira RM870 sehari kerana lewat mendaftar.



"Ia menjadikan jumlahnya lebih banyak dan lebih baik saya tidak menyertainya. Memanglah rasa sedih kerana ini adalah satu peluang untuk saya beraksi di peringkat dunia, namun saya anggap tidak ada rezeki," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Dalam pertandingan peringkat Malaysia yang berlangsung pada Februari lalu, nama Ashira dipilih untuk mewakili negara bagi kategori vokal senior. Bagaimanapun, dia harus mengumpul dana sendiri untuk menampung kos pendaftaran, penginapan dan tiket perjalanan ke pertandingan terbabit.

Selain Ashira, penyanyi lain yang akan bertanding bagi kategori sama adalah Pija Mentor, Thalia Rasul dan Erul Samah.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: