20 May 2022

DISATUKAN DALAM KONSERT 6 OGOS DEPAN - JUALAN TIKET KONSERT ANUAR ZAIN & ZIANA ZAIN LARIS MACAM PISANG GORENG PANAS



Nampaknya Konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada 6 Ogos depan, cukup dinantikan peminat apabila jualan tiket memberangsangkan dengan kerusi VIP habis ditempah sebaik dibuka.


Biarpun bukan kali pertama dua beradik ini disatukan dalam konsert kerana pernah berganding pada sebuah persembahan sempena Aidilfitri pada 2011, namun, ketika itu, peminat tempatan tidak berpeluang menyaksikannya kerana dipentaskan di Singapura.

Difahamkan, sebaik sahaja dibuka untuk jualan, tiket kategori VIP berharga RM1,188 dan kategori Silver bernilai RM292 untuk konsert menggandingkan dua vokalis hebat itu habis dijual. Konsert berdurasi 90 minit itu bakal dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Ogos depan, jam 8.30 malam.

Berkongsi keterujaan menjayakan konsert itu, Anuar berkata, misi mereka adalah untuk memberi kepuasan maksimum kepada peminat yang sekian lama menantikan saat itu. Justeru, Anuar berkata, mereka tidak memerlukan gimik, sebaliknya, mempertaruhkan persembahan yang memberi penuh makna buat peminat.

Klik untuk gambar besar



"Saya tidak tahu Kak Ziana, tetapi bagi saya, secara peribadi, saya lebih mengutamakan merit dalam persembahan. Ada orang suka buat gimik. Masing-masing ada pendapat dan cara tersendiri. Tidak ada siapa salah dan tiada yang betul. Semuanya terpulang kepada penyanyi itu sendiri. Saya lebih suka terus menyanyi kerana saya hendak cipta penjiwaan dalam nyanyian.

"Saya juga mahu mewujudkan hubungan dua hala yang utuh bersama peminat. Saya takut jika saya buat gimik, saya hilang fokus dan terlupa kepada peminat di bawah sana. Saya tahu ramai sahabat saya mampu membuat gimik dan hasilnya sangat menakjubkan. Jadi, biarlah saya tumpukan kepada persembahan kerana pada malam itu, penonton adalah selebriti dan tugas saya hanyalah untuk menghiburkan mereka.

"Menerusi nyanyian, saya mahu peminat rasa diri mereka disayangi, tenang dan selesa sepanjang konsert," katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di ibu negara, baru-baru ini.



Sementara itu, Ziana berkata, dia dan adiknya enggan menjadikan pentas itu sebagai medan menguji kehebatan vokal: "Sebenarnya, kita sudah tidak perlu berlawan-lawan vokal. Zaman itu sudah lama berlalu, iaitu 30 tahun lalu ketika kami masih muda.

"Sekarang fokus kami adalah bagaimana untuk menyampaikan nyanyian dengan lebih beremosi. Kita hendak bagi aura. Ini bukanlah konsert untuk berlawan kehebatan vokal. Rasanya semua orang sudah tahu kemampuan kami.

"Sekarang fokus kami adalah untuk memikirkan bagaimana hendak menyanyi dengan penuh emosi supaya penjiwaan sampai kepada penonton. Kita hendak bagi mereka aura dan 'vibes' terbaik... Itu sahaja," ujar penyanyi yang mula meledak menerusi lagu 'Madah Berhelah' ini.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: