20 May 2022

MAHKAMAH TANGGUH PROSIDING RAYUAN FARID KAMIL - PEGUAM TERBABIT BICARA KES RASUAH AHMAD ZAHID



Prosiding rayuan pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari terhadap sabitan dan hukuman penjara sembilan bulan bagi kesalahan berkaitan dadah telah ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan semalam setelah peguamnya terbabit dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.


Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Ghazali Cha membenarkan penangguhan yang dimohon peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Farid Kamil.

Hisyam memberitahu mahkamah bahawa beliau terbabit dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung kes kontrak sistem visa luar negara di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang tidak membantah permohonan penangguhan itu. Abdul Karim kemudian menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes.

Selain rayuan Farid Kamil terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kes berkaitan dadah, Mahkamah Rayuan juga sepatutnya mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 13 bulan yang dikenakan ke atas Farid Kamil, dengan denda RM5,000 kerana menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis.

Pendakwaan juga memohon lanjutan masa bagi memfailkan notis rayuan bagi kes yang sama (menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis).

Klik untuk gambar besar



Farid Kamil, 40, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan diperintahkan supaya diletakkan di bawah pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019. Dia gagal rayuannya pada 2019, setelah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 1.20 tengah hari pada 11 Januari 2018.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap Muhammad Nizam mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967. Dia diperintahkan menjalani hukuman itu serentak.

Bagaimanapun, susulan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara 13 bulan kepada denda RM5,000 manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan itu digantikan dengan denda RM500.

Pada 5 Januari lalu, suami kepada pelakon Diana Danielle itu gagal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan hukuman denda RM5,500, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis.

Sementara itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 13 bulan kepada denda RM5,000.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara empat bulan dengan denda RM500 bagi kesalahan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan kerana gagal lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuannya. Farid Kami juga diwakili peguam Kee Wei Lon.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: