15 May 2022

HASRAT FENDY CALIPH BUSKERS NAK KAHWIN WANITA CELIK TAK TERCAPAI KALI KEDUA - HUBUNGAN DIHALANG KELUARGA



"Saya memang ada hasrat berkahwin dan mempunyai pasangan hidup semula dengan wanita celik dan Alhamdulillah ada bercinta dengan 'seseorang'. Tapi, sayangnya sekali lagi hubungan cinta saya dengan wanita celik buat kali kedua tidak mendapat restu keluarganya.


"Alasan, kerana keadaan diri saya (cacat penglihatan) dan mungkin pihak keluarga dia bimbang yang saya akan membebankan hidup anak mereka. Pada hal, saya sendiri yakin boleh dan mampu menyara kehidupan bersama wanita berkenaan.

"Bukan saya nak mendabik dada, tapi hakikatnya walaupun saya cacat penglihatan, namun masih boleh mencari rezeki hingga kini tanpa mendapat bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," tutur pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 31, yang kecewa apabila sekali lagi apabila percintaannya dengan seorang wanita celik terkandas di tengah jalan akibat halangan daripada keluarga.

Fendy yang lebih empat tahun hidup menduda selepas rumah tangga dibina bersama Nur Nadira Rubiana yang juga anggota Caliph Buskers terlerai itu berkata dia kini tidak mahu meletak harapan terhadap perkahwinan.

Klik untuk gambar besar



Ujarnya, bantuan JKM yang pernah diperolehnya sebelum ini pun berupa RM500 yang disalurkan selama tiga bulan mulai Ogos hingga Oktober tahun lalu. Tapi, untuk bantuan EPC itu memang tidak diterimanya walaupun segala dokumentasi sudah dibuat.

"Bagi saya, mungkin tiada rezeki nak dapat bantuan EPC itu. Tapi, saya percaya rezeki Allah ini luas dan kena rajin usaha. Jadi, saya sentiasa berusaha mencari rezeki bagi menyara kehidupan bersama anak tunggal, Nur Azalea Zafirah, 6, yang juga cacat penglihatan dan kanak-kanak autisme.

"Ditambah, sekarang sayalah ayah dan ibu kepada Nur Azalea yang perlu menjaga, mengurus dan membesarkannya sendiri. Apatah lagi, bekas isteri kini difahamkan sudah balik menetap di kampungnya di Sarawak selepas berkahwin baharu," katanya.



Ditanya apakah dia benar-benar tidak mahu memikirkan soal jodoh, Fendy berkata sekiranya ada rezeki daripada Allah lagi, Alhamdulillah. Tapi, ujarnya jika tiada tidak mengapa kerana sedar individu cacat penglihatan sepertinya sukar mendapat restu keluarga.

"Saya tidak akan sesekali berkahwin dengan wanita yang dicintai tanpa restu keluarganya. Saya tidak mahu ambil risiko menghadapi perkahwinan tidak bahagia. Dalam hidup ini, saya inginkan bahagia seperti orang lain dan tetap percaya restu ibu bapa dan keluarga sangat penting.

"Sekarang, biarlah saya fokus kehidupan bersama anak saja terutama melatih Nur Azalea cuba berdikari. Saya kena kuat serta positif untuk anak kerana dia (Nur Azalea) satu-satunya amanah besar yang Allah SWT titipkan kepada saya dan perlu mendidiknya sebaik mungkin," jelasnya.

Terdahulu, Fendy berkahwin dengan Nur Nadira pada 3 Mei 2014 dan mereka dikurniakan Nur Azalea Zafirah. Bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada 2018 dan akhirnya didedahkan pada 2020 lalu selepas dua tahun berpisah.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: