01 May 2022

INDIVIDU MAHU BANTU BAYAR 'MENYEPI' - BOB LOKMAN AKUI TERPAKSA BERHENTI TERIMA RAWATAN DI IJN, MESKIPUN BELUM PULIH



"Selama tiga hari di IJN, bil rawatan saya mencecah lebih RM5,000 dan individu yang berjanji untuk tanggung kos rawatan itu tidak dapat dihubungi dan saya akhirnya buat keputusan keluar hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu," ujar pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 58.


Jelas Bob, dia hanya dapat menjalani rawatan selama tiga hari di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, baru-baru ini, biarpun keadaan kesihatannya belum pulih. Ini kerana, kata Bob, kekangan kewangan dialami membuatkan dia terpaksa mengetepikan urusan rawatan di IJN.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman yang kini berada di rumahnya di Kelantan ketika dihubungi berkata, dia tidak mampu mendapatkan rawatan berterusan di IJN kerana kosnya agak mahal.

Menurutnya, sebelum itu ada individu sanggup menanggung bayaran untuk rawatan di IJN, namun selepas dia dimasukkan ke IJN, individu terbabit menyepi.

Namun begitu, penulis lirik lagu 'Isabella' dan pencipta lagu 'Taman Rashidah Utama' ini berterima kasih kepada Muslim Care Malaysia (MCM) kerana membantunya melunaskan sebahagian bayaran di IJN itu.

Sebelum itu, Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang pada 8 April lalu kerana mengalami masalah cepat penat sejak Mac lalu.

"Saya juga berhadapan masalah buah pinggang rosak tahap empat yang menyebabkan air tidak boleh diproses keluar hingga perut menjadi buncit dan berat badan naik mendadak sehingga 132 kilogram.

"Namun, Alhamdulillah sepanjang dua minggu menerima rawatan di Kuantan itu, saya dapat mengeluarkan sebanyak lapan liter air dalam badan sebelum saya buat keputusan pindah ke IJN untuk rawatan lanjut," tuturnya.

Tambahnya lagi, ketika dirawat di IJN, mereka dapat mengeluarkan lima liter air lagi dalam badannya dan keseluruhan 13 liter sudah dapat dikeluarkan walaupun doktor kata sebaik-baiknya 20 liter air patut dikeluarkan.

Bercerita mengenai keadaannya yang kini berada di rumah, Bob berkata, dia hanya terbaring kerana perlu banyak berehat. Katanya, keadaan jantung bateri yang digunakan juga semakin lemah dan tinggal 10 peratus saja.

"Keadaan jantung saya yang sihat dan normal perlu 60 peratus, tapi sekarang sudah semakin lemah. Saya pun kini menantikan penghantaran mesin oksigen yang baru hasil sumbangan daripada pihak tertentu yang membelinya untuk bantuan pernafasan dan jantung saya semasa tidur. Ini kerana, mesin oksigen saya sudah lama," katanya.

Meskipun begitu, ujar Bob, dia bersyukur kerana masih boleh bertahan untuk berpuasa Ramadan tahun ini. Katanya, dia juga dijadualkan harus ke IJN untuk pemeriksaan lanjut pada Mei ini untuk mengetahui keadaan kesihatannya yang sebenar.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: