01 May 2022

REDA TAK DAPAT JADI WALI MYRA - HALIM OTHMAN AKUI SEDIKIT TERKILAN



"Saya memang tahu tak akan berpeluang menjadi wali untuk pernikahan Myra nanti kerana harus menggunakan wali hakim kerana 'binti Abdullah' itu. Dan, saya sudah ikhlas dan reda. Ketua Pengarah JPN ada memaklumkan kepada saya mengenai perkara wali hakim ini.


"Sebagai bapa kandung Myra, saya tak nafikan ada sedikit rasa terkilan, tetapi apa boleh buat semuanya sudah berlaku," itulah kata pengacara dan bekas penyampai radio Halim Othman, 56, yang reda apabila tidak dapat mewalikan pernikahan anak tunggalnya, Yusmyra Natasya Abdullah, 27, yang harus menggunakan wali hakim.

Halim ketika dihubungi berkata, perkara itu sudah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh kepadanya ketika perjumpaan mereka di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Halim, dia juga tidak berbincang panjang dengan Ruslin mengenai perkara itu kerana Myra pun buat masa sekarang belum berhasrat untuk berkahwin dan rancak mengatur perjalanan karier seni yang baru dibinanya.

Klik untuk gambar besar



"Sekarang pun, dah nak raya dan masanya untuk giliran saya meraikan sambutan Aidilfitri kali ini bersama Myra di kampung saya di Terengganu buat kali pertama. Selama ini, Myra hanya beraya dengan keluarga di sebelah ibunya.

"Malah, sebagaimana yang saya harapkan isu 'binti Abdullah' membabitkan Myra dapat selesai pada Ramadan ini juga, kini tiba masanya kami 'move on' ke arah perjalanan kehidupan akan datang yang lebih baik," tuturnya.

Menurut Halim, dia tetap memberi ruang kepada Myra untuk beraya bersama keluarga ibunya dulu seperti selalu sebelum mengikutnya pulang ke Terengganu pula. Katanya, dia masih perlu menghormati hak bekas isteri.

Halim sebelum ini memaklumkan mereka telah mencapai kata sepakat bersama anaknya, Myra Natasya untuk mengekalkan 'binti Abdullah' dan tidak menukarkan kepada nama Halim.


"Selepas berbincang dan mendengar penerangan daripada JPN berhubung masalah saya yang sudah tidak ada dokumen perkahwinan dulu, akhirnya saya dan Myra sepakat mengekalkan saja nama Yusmyra Natasya binti Abdullah itu," ujarnya.

Baru-baru ini, selepas 27 tahun 'menutup kemas' rahsia peribadinya, Halim mengaku Myra Natasya Abdullah adalah anaknya bersama bekas isteri, Yusnita Omar, 47, yang dikahwini di Thailand pada 1994, tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia.

Ia berikutan, tidak sampai setahun hidup bersama, rumah tangga dibina mereka berantakan dan Halim serta bekas isteri membawa haluan masing-masing sebelum Myra dilahirkan pada 1995.

Disebabkan kerjaya Halim dalam bidang hiburan baru bermula dan amat sibuk pada 1996 dan 1997, maka urusan perceraian mereka dapat diselesaikan di Thailand pada 1998 ketika Myra berusia tiga tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: