15 May 2022

MAT SENTOL TAK ADA APA-APA PETUA UNTUK KEKAL SIHAT, SEBALIKNYA TIADA MUSUH



Anak pelawak veteran, Mat Sentol, 89, iaitu Roslee Rashid, 60, ketika ditanya berkaitan kesihatan bapanya itu memberitahu bapanya tidak mempunyai sebarang petua untuk kekal sihat sebaliknya beliau tiada musuh.


Tambah Roslee, bapanya juga suka berjalan-jalan dan tidak boleh duduk diam. Katanya, setiap hari dia akan melayan bapanya dengan membawa keluar berjalan-jalan dari jam 3 petang sehingga hampir waktu Maghrib baru mereka pulang ke rumah.

"Bapa saya tak ada petua apa-apa untuk dia kekal sihat. Ceritanya senang saja, jangan cari musuh dengan orang. Ayah saya tiada musuh dengan orang lain. Itu saja sebenarnya. Kalau kita ada musuh, beri orang marah, kita tak tahu pun siapa dia (musuh) itu. Kita ini semua berkawan, tiada musuh. Makanya, tiada sakit.

"Fasal apa orang cakap, apa kita beri pada orang itu, kita akan dapat balik. Selain itu, ayah saya ini memang suka berjalan-jalan. Tiap-tiap hari saya akan bawa dia keluar sebab dia tak boleh duduk diam saja di rumah," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro

Roslee yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu memaklumkan memang dia yang menjaga bapanya, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya selama ini berbanding adik-beradik yang lain.

"Ayah, memang tinggal dengan saya berdua. Saya yang jaga dia sebab dia biasa dengan saya berbanding adik-beradik lain. Bukan mereka (adik-beradik) tidak pandai layan, tapi ayah paling selesa dengan saya. Biasalah orang tua.

"Saya pun tak nak hantar ayah ke rumah adik-beradik yang lain kerana bimbang dia kurang selasa nanti. Apapun, sekarang ini masih lagi meraikan Aidilfitri dan saya bawalah ayah berkunjung ke rumah saudara-mara kami di Johor ini," katanya.

Ditanya juga mengenai bapanya yang masih gagah berpuasa Ramadan baru-baru ini walaupun sudah lewat usia, Roslee berkata dia memberikan ruang kebebasan kepada Mat Sentol sama ada mahu berpuasa atau tidak.

"Urusan puasa ini, selagi ayah saya boleh cuba berpuasa dan mampu melakukannya, saya biarkan saja. Jika saya dapati dia macam tak mampu, memang saya minta dia berbuka saja. Apapun, kalau dia nak puasa, memang dia akan buat," tuturnya.

Mengulas juga mengenai bapanya yang masih mendapat perhatian persatuan dan pihak berkenaan, Roslee berkata sehingga kini pihak persatuan artis dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masih lagi sering bertanya khabar dan menziarah bapanya itu.

Mat Sentol yang cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an pernah membintangi beberapa filem antaranya 'Mat Tiga Suku', 'Mat Bond', 'Mat Toyol', 'Mat Karong Guni' dan 'Mat Magic'.

Tidak hanya itu, seniman hebat tanah air ini juga pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo. Menariknya lagi, hingga kini Mat Sentol masih mempunyai ingatan yang kuat dan dapat mengingat bait-bait lagu dan dialog iklan berkenaan dengan baik.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: