04 May 2022

MIN YASMIN TERPAKSA SAMBUT RAYA DI FILIPINA DEMI TUGAS



Sambutan raya penyanyi Min Yasmin tahun ini nampaknya terpaksa menyambutnya di Tawi-Tawi, Filipina. Ini kerana, kata Min, dia terbabit dengan persembahan sempena kempen pilihan raya negara itu. Jelas Min, dia bersama suami yang juga komposer, Julfekar berlepas ke sana sejak 26 April lalu dan berada di sana selama 29 hari.


"Alhamdulillah, selepas dua tahun tidak boleh ke luar negara, tahun ini rezeki saya dapat kembali ke sini. Seperti semua tahu, Filipina ibarat rumah kedua saya kerana sering ulang alik membuat persembahan selain pernah mengadakan konsert.

"Kali ini, saya dijemput untuk membuat persembahan di beberapa lokasi sempena kempen pilihan raya Filipina. Satu penghormatan buat saya daripada pihak kerajaan di sini kerana ini kali kedua saya terbabit. Bagi saya, ini satu lagi peluang keemasan selain dapat melepas rindu dengan seluruh peminat di sini," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Berkongsi lanjut, Min berkata ini kali pertama dia meraikan Aidilfitri di perantauan: "Apabila mendapat tawaran ini, tentu saja saya dan suami berbincang. Apatah lagi tarikh penerbangan kami kurang seminggu lagi untuk menyambut hari raya.

"Namun, apabila difikir semula tawaran ini bukan selalu datang. Jadi, saya dan suami bersetuju. Memandangkan kami pergi berdua, jadi tidaklah saya berkeseorangan menyambut raya. Ditemani suami juga satu rahmat biarpun tak dapat bersama keluarga lain.

"Nak kata sedih, memanglah sedih lagi-lagi sudah dua tahun kita berhari raya dalam keadaan pandemik dan terpaksa berjauhan dengan keluarga yang lain. Setiap kali solat pastinya saya dan suami berdoa untuk dimurahkan dan dipermudahkan rezeki, namun apabila rezeki yang Allah nak beri datang pada masa begini, kami reda dan sangat bersyukur dengan rezeki ini. Alhamdulillah," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: