16 May 2022

"SUDAH HAMPIR TIGA MINGGU EMAK DI SINI (DIRAWAT DI ICU) - ANAK ARIPAH DAMANHURI



"Iya, emak masih di ICU. Sudah hampir tiga minggu emak di sini. Beraya pun di sini. Keadaan emak masih tidak banyak perubahan. Cuma emak kini bernafas menggunakan trakeostomi. Oksigen yang dibekalkan bukan Iagi menggunakan mesin 'high ventilation', sebaliknya, pam biasa sahaja. Doktor pantau kemampuan emak untuk bernafas guna oksigen biasa.


"Kemudian, barulah emak boleh dipindahkan ke wad biasa," tutur anak kepada pelakon veteran, Aripah Damanhuri, 73, iaitu Fais yang memaklumkan, sudah tiga minggu ibunya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan masih dirawat, sejak mula dimasukkan ke pusat perubatan itu, pada 23 April lalu.

Fais atau nama sebenar, Nurpais Ismail, 42, berkata, dia tidak pasti bila ibunya boleh dibenarkan pulang ke rumah. Bagaimanapun, Fais optimis ibunya mempunyai semangat juang untuk melawan sakit.

"Saya tidak tahu bila emak boleh keluar dari hospital. Malah, saya tidak tahu apakah emak akan dapat keluar dari hospital sama sekali. Tekanan darah emak sejak dua hingga tiga hari ini menurun. Itu pun dengan bantuan suntikan ubat. Kalau tiada, entah bagaimana.

"Namun, semalam, bacaannya cantik sikit. Bagaimanapun, saya tahu itu selepas ditambah dos suntikan. Saya tidak tahu berapa lama lagi jantung emak boleh bertahan dengan dos begitu.

"Saya tahu emak ada semangat untuk berjuang. Kami juga tidak putus menitipkan semangat untuk emak. Namun, saya juga tahu, kami kena sedia atas apa juga kemungkinan. Tetapi, biar apa pun berlaku, saya akan terus berada di hospital untuk emak. Saya tahu kalau saya sakit, emak juga tidak akan pergi ke mana-mana," katanya.

Pada 3 Mei lalu, Fais memberitahu, ibunya mula menunjukkan perubahan positif apabila sudah boleh bercakap. Namun, nafas masih lagi pendek. Seminggu kemudian, Fais memberitahu keadaan ibunya merosot dan terpaksa ditidurkan. Doktor juga mencadangkan melakukan trakeostomi, iaitu menebuk lubang di tekak dan memasukkan tiub pernafasan.

Pada 12 Mei lalu, Fais memberitahu, pemasangan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan emak berjaya dan Aripah tampak lebih responsif. Aripah dilaporkan ditidurkan di ICU HKL sejak 23 April lalu selepas disyaki mempunyai jangkitan kuman dalam paru-paru.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: