12 May 2022

TABUNG BANTUAN YASIN SULAIMAN DAPAT SAMBUTAN BAIK: "WALAUPUN HANYA RM1, RM2, NILAINYA AMAT BESAR BAGI KAMI"



Tabung Bantuan Yasin Sulaiman atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 47, yang mula dilancarkan pada 27 April lalu oleh keluarga penyanyi itu mendapat sambutan baik dan positif daripada orang ramai.


Menurut abang kepada Yasin iaitu Dr Zain Sulaiman, 50, dia masih belum boleh mendedahkan jumlah kutipan sumbangan berikutan ia masih belum dikira dan diaudit setakat ini.

"Apa yang saya boleh katakan sekarang adalah sokongan setakat ini sangat positif. Malah apa yang membuat kami sangat terharu adalah ada sampai yang menyumbang RM1 atau RM2. Walaupun hanya seringgit, dua ringgit, nilainya amat besar bagi kami.

"Ia menunjukkan sokongan yang amat berharga bagi kami. Yasin dan keluarga mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada semua yang menyumbang. Semoga Allah memberi berkat dan ganjaran yang berlipat ganda.

Klik untuk gambar besar



"Tabung masa ini masih di peringkat awal dan semakan terhadap jumlah terkumpul akan dibuat tidak lama lagi. Apabila semakan dibuat dan satu penyata akaun yang rasmi sudah disediakan kami akan maklumkan. Ini kerana kami perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi setiap sen yang disumbangkan. Oleh itu ia perlu dilaporkan dengan teliti dan tepat," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan pihak keluarga, Zain berkata ia bergantung kepada perkembangan kes adiknya dari masa ke semasa.

"Berkenaan dengan sasaran kutipan, kami masih belum pasti, kerana ia bergantung kepada bagaimana kes ini akan bergerak ke hadapan dan sejauh mana proses perundangan ini akan berlanjutan.



"Mungkin pada sebutan kes pada 18 Mei ini kami akan dapat sedikit gambaran bagaimana kes ini akan proceed. Namun, kami dinasihatkan oleh peguam-peguan Yasin untuk sentiasa bersedia untuk menghadapi satu proses yang mungkin memakan masa yang panjang," ujarnya.

Berbicara mengenai perkembangan terkini Yasin, Zain menjelaskan adiknya dalam keadaan baik dan keluarga sentiasa meluangkan masa melawatnya pada setiap minggu di Penjara Sungai Buloh.

"Setakat ini Yasin berada dalam keadaan baik. Dia mengambil ubat-ubatannya secara konsisten. Keluarga melawatnya setiap minggu di Sungai Buloh. Semangatnya nampak positif Alhamdulillah.



"Rabu depan, 18 Mei ini InsyaAllah keluarga, teman-teman dan sahabat-sahabat Yasin akan ke mahkamah untuk sebutan kesnya. Semoga dipermudahkan Allah perjalanan kes ini dan semoga ada sinar harapan tidak lama lagi," katanya.

Terdahulu, Yasin berdepan hukuman mati selepas didakwa atas pertuduhan mengedar jenis ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara. Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa telah mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram. Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama. Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: