19 May 2022

YASIN SULAIMAN: "SAYA RASA TAK WAJAR KITA TERUS MENJENAYAHKAN KANABIS..."



"Harap kerajaan Malaysia akan keluarkan kanabis daripada senarai narkotik sebagaimana yang dilakukan oleh WHO. Saya rasa tak wajar kita terus menjenayahkan kanabis kerana kanabis adalah untuk tujuan rawatan dan perubatan, bukan dadah semata-mata," demikian ujar penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman yang berharap kerajaan akan mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik sebagaimana yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Yasin yang kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya 24 Mac lalu itu sempat mengatakan adalah penggunaan kanabis tidak wajar dilihat sebagai satu jenayah di negara ini.

Selain itu, ditanya tentang keadaan kesihatan dan penyakit bipolar yang dihidapinya, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, sambil tersenyum menjawab ringkas yang dia sihat dan baik-baik sahaja.

"Saya sihat, Alhamdulillah. Semuanya bagus... rawatan dah dapat. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong terutama Syed Saddiq, Wardina Safiyyah, kumpulan Brothers serta Nurul Izzah Anwar. Terima kasih semua," tuturnya ringkas ketika ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, peguam mewakili Yasin, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff berkata, anak guamnya memberitahu dia hanya mendapat rawatan biasa sahaja. Justeru, pihaknya membuat permohonan agar Yasin diberikan rawatan pakar kerana penyakit yang dihidapi Yasin bukanlah penyakit biasa.

"Saya bercakap dengan Yasin, dia memberitahu dia hanya mendapat rawatan biasa dan kami meminta satu rawatan pakar. Dalam permohonan tersebut kami merujuk kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Apa yang dihidapi oleh Yasin ini bukanlah sakit biasa. Saya rasa sangat wajar perubatan yang sebaiknya diberikan," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Seksyen menetapkan 22 Jun ini bagi sebutan semula kes Yasin berhubung pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja).

Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan pihak pendakwaan masih belum memperolehi laporan kimia.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: