16 June 2022

ANAK PEROLEH 2A DALAM SPM, SHIERA RASA BERSYUKUR: "DIA LULUS & SUDAH BERUSAHA SEBAIK MUNGKIN"



"Alhamdulillah, saya bersyukur saja dengan keputusan Airell walaupun hanya mendapat 2A. Apa yang pasti, dia lulus dan sudah berusaha sebaik mungkin. Melihatkan kepada keputusan SPM itu, rata-ratanya mata pelajaran yang Airell lulus dengan baik mampu memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam jurusan pilihannya nanti," ujar pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah, 47, atau mesra disapa sebagai Shiera.


Isteri kepada pelakon Ijoy Azahari itu berpuas hati dengan keputusan 2A yang diperoleh anaknya, Airell Zulkifly, 18, dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Shiera ketika dihubungi berkata, dia amat bersyukur anaknya itu lulus SPM dan memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris. Katanya, dia menerima apa saja keputusan SPM anaknya itu dengan hati terbuka walaupun sekiranya Airell gagal. Ini kerana dia hanya mahu Airell menjadi insan berguna apabila dewasa nanti.

"Saya lebih menekankan Airell agar menjadi insan yang berguna dan mampu berbakti kepada masyarakat, suka menolong orang dan saya juga tidak kisah sekiranya dia bekerja dengan gaji kecil nanti.

Klik untuk gambar besar



"Asalkan dia bekerja dan boleh berdikari dengan membantu orang lain suatu hari nanti, sudah cukup. Apa-apa pun, saya tetap akan menghantar dia (Airell) melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, sekurang-kurangnya ada diploma," katanya.

Menurut Shiera, buat masa ini Airell juga sudah bekerja sambilan sebagai juruwang di kedai makan milik suaminya. Tambahnya, sikap Airell yang tidak banyak bercakap sesuai dengan tugas berkenaan.

Selain Airell, Shiera yang mendirikan rumah tangga kali dengan Ijoy pada 28 Februari 2003 turut dikurniakan tiga lagi anak iaitu Airra, Audra dan Adeena. Dia juga mempunyai seorang anak perempuan, Allisya Tahir, hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Jatt yang juga penyanyi Black Dog Bone.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: