09 June 2022

ELLIE SURIATY: "TIDAK TERKEJUT... SAYA TAHU HATI DIA ADA PADA ORANG LAIN" - AZRI ISKANDAR: "PERKAHWINAN INI BUKAN PUNCA BERCERAI..."



"Saya tidak terkejut dan sudah boleh agak akan hal ini. Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk menarik diri daripada perkahwinan ini. Sebab saya dah rasa dia ada hubungan dengan wanita lain. Dan, waktu saya failkan cerai, saya tak perlu tanya lagi untuk dapatkan apa-apa kepastian atau kesahihan. Sebab saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.


"Selama tempoh itu, kita telah melalui segala susah senang bersama. Bila ada perubahan dalam rumahtangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi," demikian respon pelakon dan pengarah Ellie Suriaty, 52, berhubung bekas suaminya, pelakon Azri Iskandar, 54, yang mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga lagi meskipun belum cukup sebulan bercerai.

Memetik laporan Getaran, Ellie berkata dia tidak terkejut apabila Azri bakal berkahwin kerana sudah menjangkakan perkara itu. Malah, Ellie berkata sebelum mengambil keputusan untu berpisah dia melihat perubahan bekas suaminya itu.

Sebelum ini, Azri dalam satu kenyataan berkata, bakal isteri itu merupakan penulis skrip yang dikatakan turut memiliki PhD dalam jurusan muzik bernama Azra Diera, 43. Tambah Azri, dia bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.

Klik untuk gambar besar



"Betul abang akan nikah. Apabila sudah ada tarikh saya akan beritahu. Buat masa sekarang tarikh nikah belum ada. Insya-Allah dalam masa dua minggu ini saya akan ke Perlis berjumpa keluarga perempuan untuk merisik. Saya nak bincang dengan keluarga Azra untuk percepatkan perkahwinan, kalau boleh bulan ini," katanya.

Dalam pada itu, Ellie berkata dia tidak mahu mengambil kisah tentang gerangan wanita yang bakal dikahwini bekas suaminya itu sebaliknya ingin fokus terhadap anak-anak serta kerjaya seni.

"Lebih baik saya teruskan kehidupan ini demi anak-anak dan tumpukan perhatian kepada kerjaya seni saya. Sebab hidup ini terlalu bermakna untuk kita serabutkan otak dengan hal-hal sebegini. Sebelum bercerai, saya telah ambil keputusan yang cukup lama untuk memikirkan baik dan buruknya. Bahkan saya sudah memohon petunjuk daripada Allah SWT.

"Azri tidak tahu yang saya tahu apa dia lakukan di belakang saya. Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan banyak perubahan yang sangat ketara. Lagipun kita bukan baru kahwin setahun dua. Saya tak nafikan anda ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya. Tapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar," ujarnya lagi.



Sementara itu, Azri ketika ditanya mengenai hubungan dia dengan Azra, berkata, dia mengenali wanita itu 12 hari selepas bercerai dengan Ellie. Namun, Azri menafikan Azra punca perceraiannya dengan Ellie.

"Saya berjumpa Azra selepas 12 hari bercerai dengan Ellie. Kami bekerjasama dalam satu satu projek drama RTM. Saya ada menghubungi Azra untuk bertanya lanjut mengenai skrip itu. Dari situ saya terus tertarik melihatnya dan berterus terang. Tidak sangka dia juga sukakan saya.

"Kami merancang untuk berkahwin kerana masing-masing sudah berusia. Saya nak 'move on' dan tak nak buang masa sebab sudah jumpa orang sesuai. Namun, perkahwinan ini bukan punca saya bercerai dengan Ellie. Saya dah tua tak reti nak bercinta-cinta, kalau dah jumpa seseorang saya nak terus kahwin," katanya.

Untuk makluman, Azri dan Ellie sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13. Sementara dua lagi Ellie mengalami keguguran. Sebelumnya, Azri menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistana, 29; dan Nur Anis Mastura, 27.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: