26 June 2022

FIFY AZMI: "TAK PERLULAH BERLAGAK... BAYAR DUIT SAYA, SELESAI"



"Kes masih dalam siasatan. Biarlah pihak berkuasa melakukan tugasan, malah, saya juga sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes duit RM15,000 yang dirembat, selain cerita buruk yang dijaja bekas pembantu peribadi.


"Saya pelik kenapa susah sangat nak pulangkan semula duit diambil? Namun, mengaburi mata orang luar dengan pelbagai drama rekaan, termasuk jaja cerita buruk saya dalam media sosial.

"Saya hanya mahu wang saya dikembalikan," kata pelakon Fify Azmi, 32, yang langsung tidak gentar mempertahankan dan menuntut hak apabila wang hasil titik peluhnya didakwa 'dirembat' bekas pembantu peribadi.

Ini kerana prinsip Fify adalah 'Berani kerana benar'. Selain berani mendedahkan 'perilaku' bekas pembantu peribadi dalam media sosial sehingga menjadi tular, aktres yang diangkat Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-31 itu turut membuat laporan polis atas dakwaan pecah amanah pada 6 Jun lalu.

Namun, kekecohan makin memuncak apabila bekas pembantu peribadi dilaporkan terkilan dengan tindakan Fify, malah, turut membuat laporan polis atas salah faham yang berlaku.

Klik untuk gambar besar



Lebih aib, bekas pembantu peribadi menjaja cerita buruk termasuk mendedahkan pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Wira itu mengambil barang terlarang menerusi media sosial, baru-baru ini.

Namun, bekas finalis program Dewi Remaja 2014/2015 itu tidak gentar dengan cubaan jahat dilakukan wanita itu. Malah, dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu peribadinya itu. Fify berkata, dia tergelak juga memerhatikan drama wanita ini.

"Tak perlulah nak berlagak atau berkelakuan seperti budak-budak. Bayar duit saya, selesai. Saya sudah bosan mendengar rangkaian ceritanya. Selama ini, saya sangka bekas pembantu peribadi sudah berubah. Sebelum ini, saya pernah dengar perkara sama berlaku pada artis lain. Nampaknya tidak, saya menjadi mangsa seterusnya," ujarnya.

Pelakon filem 'Wira' dan 'Pasal Kau!' itu berkata, dia berani dedahkan termasuk buat laporan polis kerana mahu memberi pengajaran kepada mereka yang berdepan nasib sama.


"Saya percaya artis lain pun akan melakukan perkara sama, jika pembantu peribadi tak amanah, jujur dan tikam belakang. Saya mungkin boleh berdiam, tetapi sesekali saya perlu bertindak berani supaya tiada berani pijak kepala saya. Nilai duit dirembat bukan sedikit, ia juga hasil penat lelah saya mencari rezeki," tuturnya.

Fify atau nama sebenarnya, Nur Afiqah Mohamed Azmi berkata, isu berkenaan membuka matanya untuk tidak mudah mempercayai orang.

"Kita takkan tahu niat seseorang. Boleh jadi, ada yang mendekati saya untuk tujuan cuba mengambil kesempatan. Namun, ia juga berbalik kepada hak dan rezeki. Saya berlakon untuk mencari rezeki, namun, jika ia dirembat, saya ada hak untuk menuntutnya," katanya.

Terdahulu, Fify dilaporkan berang apabila bekas pembantu peribadinya merembat wang RM15,000 selepas selesai penggambaran drama bersiri, Special Force Anarchy arahan Syafiq Yusof.

Namun, bekas pembantu peribadi menafikan melarikan wang Fify, sebaliknya berlaku kecuaian apabila tidak menyedari syarikat produksi memasukkan bayaran berkenaan dalam akaunnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: