26 June 2022

ISU TARIK DIRI DISAAT AKHIR - IDRIS KHAN KATA DAKWAAN ITU BERSIFAT FITNAH



"Beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang media itu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah. Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan," jelas pelakon Idris Khan, 34, yang menyifatkan dakwaan dan tuduhan pelakon dan penerbit, Datuk A Aida terhadapnya dalam satu sidang media kelmarin adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.


Idris dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran dan membela dirinya. Idris juga mengakui dia sangat terkejut dan hairan dengan tuduhan itu, tetapi sangat berterima kasih kerana mendapat segala bentuk sokongan yang positif.

"Saya ingin mengucapkan Alhamdulillah dan berterima kasih atas segala sokongan, dorongan dan kata-kata yang baik daripada anda semua. Saya merasa rendah diri dan terharu menerima mesej bersifat kasih sayang dan prihatin anda," katanya.

Idris turut menekankan bahawa dia menentang sekerasnya sebarang bentuk ancaman dan buli dalam masyarakat, apatah lagi dalam industri hiburan. Dalam masa sama, dia juga mengingatkan kepada semua bahawa rezeki datang daripada Allah SWT dan bukan daripada manusia.

Klik untuk gambar besar



"Terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut supaya mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya. Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya.

"Saya tidak akan berdiam diri menghadapi sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsip saya dalam hidup. Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Sebelum ini, A Aida menyifatkan tindakan Idris dan seorang lagi pelakon iaitu Amelia Henderson menarik diri di saat akhir dari penggambaran drama terbitannya sebagai sangat tidak profesional dan mengarut.

Aida berkata, dia akan mengambil tindakan tegas memfailkan saman terhadap mereka kerana melanggar kontrak penggambaran drama terbitan A Aida Production berjudul 'Sekali Lagi Cinta Kembali' dengan menarik diri di saat-saat akhir. Difahamkan, Idris dan Amelia adalah hero dan heroin drama berkenaan.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: