24 June 2022

MINGGU KETIGA 'KARAOKE SUPERSTAR' - AMIRA OTHMAN MUNCUL JUARA



Penyanyi Amira Othman yang bersaing penyanyi Tajul telah dinobatkan juara untuk minggu ketiga program realiti pertandingan nyanyian berkaraoke, 'Karaoke Superstar'. Dalam episod kali ini, Amira yang bersuara serak-serak basah itu berjaya menjadi juara mengalahkan Tajul dengan jumlah kemenangan sebanyak empat kali daripada lima segmen yang ada.


Amira sering mendapat pujian 'Kar-bat!' daripada juri-juri termasuk penyanyi dan pelakon Erra Fazira, juri tetap 'Karaoke Superstar' dan juga Khir Rahman yang dijemput sebagai juri jemputan pada minggu kali ini.

Dalam pusingan pertama iaitu Superfans, peminat daripada geng Amira Othman, Ayuni Sapuan yang juga merupakan seorang penyanyi sambilan berjaya mengalahkan pihak lawannya dan meraih satu mata untuk artis kegemarannya. Walaupun nyanyiannya dipuji oleh Erra sebagai persembahan yang menyayat hati, peminat geng Tajul masih tidak dapat menarik perhatian orang ramai.

Klik untuk gambar besar



Beralih ke segmen kedua yang dipanggi Karok Uji, persembahan Amira bersama wakil daripada kelab peminatnya sekali lagi berjaya meraih kemenangan dengan lagu 'Senggol Senggolan Cubit Cubitan' nyanyian Mas Idayu. Persembahan Tajul dan peminatnya dengan lagu 'Ala La La Sayang' nyanyian Azzara band masih dipuji oleh juri-juri walaupun mereka mendapat markah yang kurang oleh kerana kesalahan lupa lirik.

Pusingan seterusnya iaitu Kuiz Karok Star menampilkan artis dan peminatnya yang perlu memilih jawapan paling tepat dalam kuiz-kuiz yang diberikan untuk menjadi pemenang dalam segmen ini. Kedua-dua pihak mendapat jumlah sebanyak 14 markah, lantas menjadikan mereka dalam tangga yang seri. Namun, soalan tambahan diberikan sebagai pemecah seri kepada mereka dan pertambahan soalan ini memberikan satu markah tambahan kepada geng Amira Othman yang berjaya meneka jawapan dengan lebih tepat.



Dalam pusingan Mikrofon Misteri pula, kedua-dua pihak berjaya meneka mikrofon misteri masing-masing dengan betul. Namun, persembahan Tajul dan mikrofon misterinya, penyanyi Zarul Husin (Umbrella) mendapat lebih markah, lantas menjadikan dia sebagai pemenang. Penyanyi misteri Amira Othman di sebalik tabir pula merupakan pelakon Fatin Afeefa yang menyanyikan lagu 'Jaga-Jaga' iaitu lagu runut bunyi drama bersiri 'I Love You Abang Bomba' yang ditayangkan di Astro Ria.

Penilaian terakhir pertandingan nyanyian ala berkaraoke antara mereka bergantung kepada persembahan mesh up mereka dalam segmen Messy Up Star yang juga merupakan segmen penentuan juara pada minggu ketiga ini. Lagu yang dinyanyikan oleh Tajul adalah 'Hati-Hati', manakala Amira Othman pula menyanyikan lagu 'Sedalam-dalam Rindu'. Amira sekali lagi meraih kemenangan dalam pusingan kali ini, lantas merebut gelaran sebagai 'Juara Minggu Ketiga Karaoke Superstar'. Pentas ini ditutup dengan persembahan Amira Othman dan Mikrofon Misterinya, Fatin Afeefa.

Siapakah yang akan merebut gelaran juara minggu keempat 'Karaoke Superstar' pula? Nantikan episod ketiga program pertandingan berkaraoke ini di saluran Astro Ria pada setiap Ahad, jam 9 malam.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: