11 June 2022

PETI SUARA BENGKAK AKIBAT GASTRIK, RAMLAH RAM DINASIHATKAN BEREHAT: "RISAU JIKA PERLUKAN PEMBEDAHAN"



Penyanyi Ramlah Ram yang mempunyai penyakit gastrik yang dihidapi sejak sekian lama itu memaklumkan dia turut mengalami masalah bengkak pada bahagian peti suara gara-gara penyakit tersebut.


Disebabkan itu, Ramlah, 57, berkata doktor menasihatkannya untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti nyanyian dan mengambil tempoh rehat sekurang-kurangnya lima hari bermula Selasa lalu.

"Saya memang ada masalah gastrik, disebabkan itu asid refluks naik ke bahagian peti suara sehingga ia menjadi bengkak. Kalau ikutkan sepatutnya kena rehat selama dua minggu, tetapi kata doktor lihat dahulu bagaimana keadaan selepas lima hari.

"Kalau terus menyanyi akan memberi kesan kepada peti suara dan jika serius perlukan pembedahan. Jika pembedahan dilakukan ia boleh memberi kesan kepada tone suara saya," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Ramlah yang sepatutnya membuat persembahan pada majlis sidang media Konsert Tribute Seniman Negara: Datuk Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya, Kuala Lumpur itu enggan mengambil risiko kerana bimbang tidak boleh menyanyi pada hari konsert sebenar yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Julai.

Klik untuk gambar besar



"Saya juga telah maklumkan kepada pengurus supaya tidak menerima sebarang undangan nyanyian dalam masa terdekat. Biarlah saya berehat dahulu. Bimbang juga jika masalah ini berlarutan, saya tidak boleh menyanyi ketika hari konsert nanti," tuturnya.

Sebagai seorang penyanyi, Ramlah akui bimbang jika masalah serius akan terjadi sehingga terpaksa menjalani pembedahan. Akur dengan segala ketentuan, Ramlah dalam masa sama menjaga pemakanan sebaik mungkin selain mengambil ubat yang telah diberikan doktor.

"Tentulah risau jika perlukan pembedahan. Saya sentiasa berdoa semoga semuanya kembali baik. Saya tahu suara ini adalah pinjaman Allah dan Dia boleh tarik bila-bila masa sahaja.

"Dalam tempoh rehat ini saya menjaga pemakanan. Saya tidak mengambil makanan pedas dan berangin. Selain itu saya masih makan ubat yang dibekalkan doktor," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: