17 June 2022

TERUS DAPAT BANTUAN - FENDY CALIPH BUSKERS LUAH RASA SYUKUR



Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun sebelum ini pernah meluahkan isi hatinya mengenai bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kini, Fendy berasa syukur apabila luahannya itu sudah mendapat perhatian pihak berkenaan.


Fendy, 31, berkata, dia dihubungi pihak JKM kelmarin untuk maklum balas mengenai urusan bantuan EPC itu dan hari ini dia juga diminta ke ibu pejabat JKM Kuala Lumpur untuk menghantar beberapa dokumentasi diperlukan.

"Terima kasih sekali lagi kerana membantu menyiarkan luahan hati saya berkenaan bantuan EPC itu. Sebelum ini dah bantu berkaitan rumah PPR (Program Perumahan Rakyat). Saya tak sangka akan dihubungi juga oleh JKM untuk tindakan selanjutnya.

Klik untuk gambar besar



"Terima kasih juga kepada JKM di atas maklum balas segera ini kerana saya pun sudah menunggu agak lama sejak tahun lalu. Saya berusaha memohon bantuan EPC ini kerana memang layak mendapatkannya berikutan status individu cacat penglihatan," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Fendy yang juga bapa tunggal kepada seorang anak perempuan istimewa itu berkata, dengan wang bantuan itu juga secara tidak langsung dapat membantu meringankan perbelanjaan bulanan ditanggungnya selaku orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, selain menyara diri sendiri, dia juga ada anak perempuan, Nur Azalea Zafirah, 7, yang perlu diuruskan segala keperluannya yang juga OKU cacat penglihatan dan kanak-kanak autisme.


"Saya juga perlu menghantar anak ke sekolah pendidikan khas di Jalan Batu, Kuala Lumpur, manakala kami pula menetap di PPR Bandar Tun Razak, Cheras," katanya yang memilih perkhidmatan e-hailing berbanding transit aliran ringan (LRT) bagi keselesaan dan keselamatan anaknya itu.

Baru-baru ini, Fendy dilaporkan masih terus berusaha untuk mendapatkan bantuan EPC dari JKM yang layak diperolehnya berikutan status individu cacat penglihatan sekali gus bagi membantu menampung kos sara hidupnya dan anak.

Sebelum ini, Fendy memaklumkan dia pernah mendapat bantuan JKM sebanyak RM500 yang disalurkan kepadanya selama tiga bulan mulai Ogos hingga Oktober tahun lalu. Namun, untuk bantuan EPC itu memang belum lagi diterimanya walaupun urusan dokumentasi sudah beberapa kali dibuat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: