07 June 2022

USTAZ KAZIM ELIAS MINTA HENTI SEBARKAN LUKISAN WAJAH 'PENYIHIR' - INDIVIDU LAKAR MOHON MAAF



"Saya dapat banyak kiriman daripada TikTok lakaran lukisan kononnya orang yang melakukan sihir. Saya berlepas diri daripada perkara-perkara sebegini. Jangan menimbulkan tanggapan tuduhan kepada sesiapa pun dan perkara begini bukan daripada kaedah perawatan yang dibenarkan.


"Saya berharap pemilik akaun berkenaan memadamkan gambar-gambar ini dan ianya tiada faedah sama sekali," ujar pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias (DUKE) yang memohon agar trend menyebarkan lakaran lukisan 'penyihir' segera dihentikan.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok, satu hantaran video oleh seorang pengguna dikenali sebagai Ustaz Neo yang juga merupakan seorang pawang yang telah melakar wajar tukang penghantar sihir kepada Ustaz Kazim.

Ustaz Kazim menerusi hantaran terbarunya di Facebook baru-baru ini, memaklumkan beliau telah menerima banyak kiriman mesej daripada pengguna TikTok yang berkongsi lakaran lukisan seseorang yang dikatakan adalah milik individu yang melakukan sihir.

Sementara itu, beliau turut menegur kepada mana-mana individu yang terlibat agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi lakaran seperti itu kerana ia mungkin menyerupai wajah seseorang. Dalam pada itu, Ustaz Kazim juga berharap pemilik akaun TikTok berkenaan memadam gambar-gambar lakaran lukisan itu dan menganggap ianya tiada faedah sama sekali.

Terkini, seorang lelaki dikenali sebagai Neo Pawang Diraja yang sebelum ini pernah berkongsi lakaran individu yang didakwa melakukan khianat terhadap Ustaz Kazim tampil memohon maaf selepas ditegur pendakwah terbabit.

Klik untuk gambar besar



Jelasnya, lakaran itu dibuat bukan atas tujuan peribadi atau mempunyai niat tertentu. Terdahulu, lelaki tersebut turut tular selepas mendedahkan lakaran enam individu yang dikatakan telah menyihir pendakwah terbabit.

"Assalamualaikum, Alhamdulillah saya terima respons daripada Datuk Ustaz Kazim Elias di Facebook beliau memohon agar saya menghapuskan lakaran yang saya buat di dalam video saya yang telah tular baru-baru ini.

"Dengan rela hatinya saya telah memadam segala video tersebut baik di Facebook dan akaun TikTok saya. Saya memohon seribu kemaafan kepada Ustaz Kazim Elias dan saya sangat menghormatinya.

"Apa-apa pun saya tetap hormati Datuk Ustaz Kazim Elias. Di sini saya membuat lakaran tersebut dan buat video bukan kerana peribadi atau niat-niat tertentu. Jadi, kepada yang mengutuk, menghina, mencaci maki dan menghukum saya sesat dan kafir.

"Alhamdulilah satu rahmat buat saya dan apa yang ingin saya maklumkan saya tidak akan maafkan individu tersebut baik di dunia mahupun akhirat," katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman TikTok.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: