20 August 2022

6 TAHUN BERKAHWIN BELUM DIKURNIAKAN ANAK - HAZAMA & ISTERI IKHTIAR DAPATKAN ZURIAT TAHUN DEPAN



Sudah enam tahun melayari kehidupan berumah tangga, penyanyi Hazama dan isterinya, Genervie Kam mahu berikhtiar untuk mendapatkan anak tahun hadapan dan mungkin menerusi proses persenyawaan in vitro (IVF).


Menurut Hazama, isterinya memang inginkan untuk mempunyai anak sendiri. Hazama bagaimanapun hanya berserah kepada Allah selain berikhtiar. Dalam pada itu, Hazama berkata tidak terasa hati apabila orang bertanyakan soal anak kerana bukan tugasnya untuk menjawab.

"Sebelum ini saya tenang saja dan anggap tak mengapa kita kena percaya pada ketentuan Allah. Dalam bab begini, penyerahan saya kepada Allah amat tinggi. Tapi berserah itu berserah juga dan dalam masa sama kena ikhtiar. Sebelum ini hanya berdoa saja. Kalau ada, adalah. Sekarang kami bercadang akan ikhtiar cara ini pada tahun depan.

"Orang yang tak tahu akan tanya dan apabila saya beritahu tiada anak, mereka akan diam tanda menghormati. Namun ia akan jadi lain apabila orang bagi pendapat itu dan ini. Saya melalui perkara ini dan tiada tekanan sangat untuk saya jawab.

Klik untuk gambar besar



"Tapi bila begitu (beri pendapat), benda ini boleh buat darah saya menyirap juga. Jika babitkan kawan rapat, mereka faham dan saya tak perlu cerita lanjut. Saya akan jadi tertekan apabila orang itu sengaja bertanya atas sebab tertentu, mungkin untuk jual sesuatu.

"Dia (isteri) pernah mengandung di luar rahim pada 2017 dan menjalani pembedahan. Tiub fallopio pada bahagian kiri juga sudah dibuang. Kami dah dimaklumkan doktor kebarangkalian untuk ada anak agak susah. Saya faham umurnya dah berusia daripada saya, tapi kita ada Allah dan kalau Dia nak bagi pasti akan bagi.

"Kalau tak bagi pun pasti ada sebabnya. Saya ambil peluang ini untuk kami 'enjoy' dulu dan masing-masing fokus dengan karier. Apapun isteri dalam usaha buat rawatan badan untuk membolehkannya mengandung," katanya.

Untuk makluman, Hazama dan Genervie yang merupakan seorang pengarah muzik itu mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2017.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: