19 August 2022

RUGI LEBIH RM2,500 KERANA TERLEPAS KONSERT BILLIE EILISH - NABIL ANGGAP RAHMAT ALLAH



Gara-gara terlepas pandang tarikh konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam, pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad telah mengalami kerugian lebih RM2,500.


Menerusi perkongsian video di TikTok stesen radio Era FM, Nabil terduduk dan menghubungi isterinya, Nazirah Ayub bagi memaklumkan perkara itu. Difahamkan, Nabil sudah membeli lima tiket berharga RM508 setiap satu untuk isteri dan tiga anak perempuannya.

"Yang (panggilan isteri), Billie Eilish tu semalam saja, mana ada hari ini. Awak tengok dekat tiket tu, 18 hari bulan. Lailahaillallah. Memang Allah tak izin, senang cerita," kata Nabil ketika menghubungi isterinya.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata netizen menitipkan kata-kata semangat buat pelawak itu selain tidak perlu menyesali kesilapan itu kerana menyifatkan Allah sedang melindungi dirinya bersama keluarga daripada melakukan perkara mungkar.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, ada juga segelintir netizen yang ralat apabila pelawak itu terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit. Untuk makluman, malam tadi, Eilish, 20, telah menghiburkan lebih 25,000 peminat pada konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022.

Dalam pada itu, Nabil ketika dihubungi berkata, dia bersetuju dengan pendapat netizen yang mengatakan dia dan keluarganya terhindar dengan perkara melalaikan apabila terlepas menyaksikan konsert Billie Eilish semalam.

Kata Nabil, dia menyangka konsert penyanyi yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy berlangsung selama dua malam iaitu pada 18 hingga 19 Ogos 2022. Bagaimanapun, Nabil menganggap kesilapan melihat tarikh konsert itu semalam sebagai satu rahmat.

"Itulah ramai yang komen benda itu 'lagha' (melalaikan). Saya pun rasa benda yang sama. Memang Allah nak mengelakkan kita daripada bersama dengan benda-benda macam itu.



"Sebenarnya saya beli tiket di bahagian tempat duduk yang dikatakan jauh dari pentas. Kami pun tak pernah tengok konsert, selalu hanya ke pementasan Disneyland bersama anak-anak.

"Jadi bila mereka dah besar, saya nak ajak mereka merasai konsert artis antarabangsa. Lagipun ini bakal menjadi pengalaman pertama kami sekeluarga. Saya sendiri pun sebenarnya nak melihat cara produksi antarabangsa bekerja dan bagaimana mereka mengendalikan konsert itu.

"Tidak dinafikan banyak komen yang saya terima menyatakan Allah melindungi saya sekeluarga dan itu juga peringatan untuk saya. Ya Allah betul saya tak perasan tarikh sebab benda itu tak berapa penting.

"Saya beli kelmarin sebab anak-anak yang nak. Anak ada beritahu kawannya pergi pada Khamis, jadi saya menyangka tiket kami untuk Jumaat. Saya sebenarnya terkeliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat," katanya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: