30 August 2022

ADAKAN PROTES BERHUBUNG ISU BAYARAN MODEL - ALICIA AMIN TIDAK BIMBANG RISIKO TERHADAP KERJAYA PERAGAAN



"Saya sudah berfikir panjang sebelum buat keputusan melakukan protes kepada penganjur. Penganjur lewat bayar adalah isu lapuk yang masih belum berjaya diselesaikan hingga hari ini.


"Bayangkan, ada model yang masih belum menerima bayaran seperti dijanjikan lebih sedekad lalu. Saya mahu mempertahankan hak bukan sahaja untuk diri sendiri, malah, untuk rakan model yang menerima nasib sama.

"Protes ini dibuat bukan untuk suka-suka, tetapi sebagai salah satu cara untuk kami menuntut hak. Walaupun nampak ekstrim, tetapi ini memang cara saya. Kita sudah buat kerja dan sebagai penganjur, mereka kenalah jelaskan bayaran tepat pada masanya," ujar model yang juga pelakon sensasi, Alicia Amin.

Jauh di dasar hati Alicia, tiada sekelumit niat menjadi 'wirawati' ataupun menagih publisiti murahan apabila mengadakan protes terbuka berhubung isu bayaran terhadap penganjur Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022), baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar



Meskipun terpaksa memperjudikan kerjaya peragaannya dan dilabel sebagai 'antagonis' hanya kerana sikap lantangnya itu, namun, Alicia melakukannya dengan ikhlas demi menuntut hak yang selama ini dinafikan.

Dalam insiden berlaku di perkarangan pusat membeli-belah pada tempat acara pertunjukan fesyen itu, Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 27, dilihat berdiri sambil memegang sepanduk yang menggesa penganjur membayar model yang diupah dalam masa sehari selepas tugasan selesai.

Peringatan lain turut ditulis Alicia di sepanduk itu adalah meminta model yang masih belum menerima bayaran termasuk untuk tahun-tahun sebelumnya dapat memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.



Ditanya apakah tidak bimbang tindakan berani itu memberi risiko kepada kerjaya peragaannya, Alicia berkata, tiada apa yang perlu digusarkan kerana apa yang dilakukannya tidak menyalahi undang-undang dan berlandaskan fakta.

"Nak kata saya bimbang bakal disenarai hitam beraksi di pentas KLFW, saya berurusan secara terus dengan pereka dan bukannya diupah penganjur. Lagipun, ada ramai penggiat industri, model dan selebriti menyatakan sokongan walaupun sekadar di sebalik tabir selepas saya menyuarakan isu ini.

"Cuma, tak dinafikan ada momen pelik berlaku ketika saya sedang berjalan di atas pentas. Secara tiba-tiba ada pengumuman mengatakan persembahan sudah berakhir dan penonton mula beredar.



"Bagaimanapun, ada yang memaklumkan apa yang berlaku disebabkan kesilapan tidak disengajakan. Saya tak boleh nak kata sabotaj atau sebaliknya. Saya memang agak pelik kerana ia tidak pernah terjadi," cerita bekas peserta program realiti pencarian model, Asia's Next Top Model musim kelima ini.

Ternyata, usaha dan pengorbanan dilakukannya membuahkan hasil apabila pengasas acara itu, Andrew Tan akhirnya menunaikan janji melunaskan bayaran tertangguh selama ini.

"Saya dapat tahu, ada model yang sudah mendapat bayaran dalam masa sehari seperti dijanjikan. Ini satu perkembangan yang baik. Meskipun bukan tugas saya, tetapi saya tetap akan memantau perkara ini untuk memastikan Tan akan melunaskan bayaran kepada model beraksi di pentas KLFW 2022 dan bayaran tertunggak sebelumnya.



"Saya harap ia satu permulaan yang baik buat penganjur dan akan diteruskan sampai bila-bila. Saya yakin jika perkara ini diamalkan, pentas KLFW akan menjadi lebih hebat," kata Alicia.

Beralih perkembangan kerjaya lakonan, pelakon berbakat besar berkongsi, dia ingin mencabar kemampuannya dengan membintangi filem bertaraf festival.

"Sudah tiba masanya untuk saya memperkembangkan kerjaya lakonan ke arah karya yang berpotensi untuk dibawa ke festival luar negara. Sebagai pelakon, saya perlu membuat perubahan dan tidak mahu berada di takuk lama. Untuk tujuan ini, ada yang mencadangkan saya berlakon teater.

"Itu memang cadangan baik, namun, tuntutan kerja dalam bidang peragaan membuatkan saya terpaksa melupakannya. Kita pun tahu teater menuntut komitmen bukan sedikit.

"Apapun, kalau ada rezeki, saya tetap mahu mencuba berlakon dalam pementasan teater," tuturnya yang bakal muncul dengan filem Rasuk bergandingan dengan Alif Satar dan Elisya Sandha, bulan depan.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: