24 August 2022

BABY SHIMA SIFATKAN TEGURAN PENDAKWAH BUKAN IKHLAS: "ADA ARTIS TAYANG PUSAT, MENARI TERGEDIK-GEDIK... TAK PULA DITEGUR?"



Penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima, 30, sering kali terpalit dengan kontroversi demi kontroversi yang tidak pernah surut dalam melingkari kehidupannya.


Kata Baby Shima, dia tak pernah cetuskan kontroversi, sebaliknya netizen gemar memberi komen berlebihan dengan pelbagai tohmahan apabila ada sahaja penulis blog menulis cerita tanpa mengetahui keadaan sebenar.

"Berita disiarkan daripada sudut pandang berbeza, seolah-olah saya bergelek keterlaluan hingga penonton tertunduk malu. Sedangkan, penonton terhibur. Saya juga tidak bergelek berlebihan melainkan tarian mengikut rentak dalam video muzik. Sepatutnya netizen merasa penat, bukan saya. Ini kerana ada sahaja perkara netizen tidak puas hati, lantas tak berhenti mengecam.

Klik untuk gambar besar



"Cuba lihat semula segala komen negatif, ada atau tidak komen positif dan sokongan netizen? Segelintir yang bersikap negatif tidak mewakili keseluruhan masyarakat. Saya ada penyokong tegar yang masih sayangkan saya seperti saya menyayangi dan menghargai mereka. Kepada golongan 'haters', teruskan usaha anda," ujarnya.

Penyanyi lagu 'Roadblock Hatiku' dan 'Pura Pura Bujang' itu menyifatkan teguran pendakwah bukan ikhlas, sebaliknya lebih kepada mahu membuka ruang untuk golongan artis dikecam.

"Jika teguran, seeloknya disampaikan terus kepada saya, seperti teguran seorang mufti yang memberikan pencerahan kepada saya. Tidak semua pendakwah tulus dan lurus, ada juga pendakwah terpalit isu negatif. Kita makhluk ciptaan Allah yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika saya salah, tegurlah secara peribadi. Bukannya menggunakan platform laman sosial, jadi tolonglah bersikap adil.



"Peliknya, kenapa saya sahaja ditegur, sedangkan ada segelintir artis menayang pusat dan menari tergedik-gedik dengan menayang aset, namun tak pula ditegur. Kenapa saya sahaja jadi sasaran?," katanya.

Ditanya adakah pernah timbul kekecewaan dan terdetik mahu meninggalkan dunia seni apabila jadi sasaran kecaman, wanita kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru itu berkata, tak mungkin disebabkan segelintir netizen dirinya hendak ambil hati dan kecewa hingga mahu meninggalkan dunia seni.

"Saya mengimpikan mahu menjadi penyanyi dangdut terbaik Asia. Itu matlamat saya," tutur Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: