22 August 2022

BILA NOH SALLEH SELAMBA PEGANG ROKOK KETIKA CATWALK DI KLFW



Jika sebelum ini pernah menjadi tumpuan apabila selamba menghisap rokok elektronik ketika ditemu bual media dalam sebuah acara pada Julai lalu, terkini penyanyi Noh Salleh, 37, sekali lagi mengulangi sikap sama apabila memegang sebatang rokok ketika membuat kemunculan di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) yang berlangsung di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur pada Ahad.


Meskipun rokok tersebut tidak dinyalakan, aksi Noh itu nyata tidak disenangi ramai kerana umum mengetahui tabiat merokok bukan amalan baik untuk kesihatan selain perbuatan itu dilarang di tempat awam.

Ekoran tindakannya itu, ada mengatakan vokalis kumpulan Hujan itu sedang memberontak dan cuba melepaskan amarah dalam diri selepas berita perceraiannya dengan Mizz Nina hangat diperkatakan.

Klik untuk gambar besar



Namun, ada juga netizen mendakwa inilah Noh yang sebenar dan inilah jiwanya. Dalam pada itu, aksi Noh tersebut turut memberi gambaran buruk dan contoh tidak baik kepada masyarakat terutama golongan muda yang menjadikan dirinya sebagai idola.

"Kenapa Noh macam ini? Aku mahu Noh yang tawaduk macam dulu." - "Nampak dia kecewa dengan diri sendiri. Adakah ini cara dia memberontak dan berperang dengan diri sendiri? Semoga dia kuat." - "Kalau bertahan sikit dengan Mizz Nina, selamat dia tapi sayang tidak tahan dengan godaan dunia," demikian komen-komen netizen.

Menerusi video dikongsikan di aplikasi Tiktok, Noh yang memperagakan jenamanya Hikari itu kelihatan seperti bertanya kepada penonton yang hadir meminta pemetik api untuk menyalakan rokok berkenaan. Ketika di awal kemunculan, Noh juga menyebut, 'kau pergi mampus.. kau mampus' sambil jari menunding pada penonton yang hadir.



Sementara itu, pengunjung di pusat beli-belah itu cemas apabila satu kejadian letupan berlaku di bahagian belakang sebuah pentas pada acara itu. Pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi berjaya merakamkan detik-detik cemas berkenaan yang bermula dengan bau asap sebelum berlaku letupan kecil ketika petugas keselamatan cuba memeriksa punca kejadian.

"Apa yang berlaku ini... macam ada bunyi meletup. Bau asap dan semua orang sudah kelam kabut. Orang ramai juga sudah mula menyelamatkan diri. Kebetulan Pak Nil ada di Dome, bahaya ni," katanya.

Tindakan pantas polis bantuan yang segera memadamkan api dan mengawal keadaan daripada berlakunya kejadian tidak diingini. Netizen turut memuji tindakan pantas pihak keselamatan menangani situasi terbabit dan difahamkan tiada individu yang tercedera akibat letupan itu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: