21 August 2022

DAPAT TAJAAN RM7 JUTA - MAS IDAYU & SUFIAN NIKAH 16 SEPTEMBER INI



Pada 16 September ini iaitu jatuh pada Hari Malaysia, penyanyi Mas Idayu mengesahkan dia bakal disatukan dengan jejaka pilihan iaitu Penerbit Eksekutif TV3, Sufian Isa.


Mas atau nama penuhnya Mas Idayu Mesnun, 50, berkata, tiada sebarang simbolik atau makna di sebalik pemilihan tarikh tersebut dan ia dipilih sendiri oleh bakal suaminya yang berusia 51 tahun itu.

"Bukan saya yang pilih tetapi Daddy (panggilan buat Sufian). Awal perancangan kami ingin melangsungkan pernikahan pada bulan Mei lalu tetapi pada saya ia terlalu awal. Kemudian selepas berbincang kami bersetuju untuk pilih 16 September kerana lebih mudah untuk diingati," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Mas Idayu ketika ditanya lebih lanjut mengenai hari bahagianya itu mendedahkan majlis itu turut mendapat tajaan pelbagai pihak yang dianggarkan berjumlah RM7 juta. Difahamkan, tajaan itu termasuklah lokasi majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan, katering, fotografi, set barangan kemas dan beberapa busana pengantin.

"Sejujurnya perkahwinan kedua ini sangat bermakna kerana sebelum ini tiada sebarang persandingan atau acara yang meriah. Jadi boleh dikatakan majlis ini seperti perkahwinan pertama... Tetapi apa lebih penting adalah perjalanan hidup selepas perkahwinan selepas 16 tahun saya hidup sendirian," katanya.

Seperti pasangan yang lain, Mas Idayu juga mengharapkan perkahwinan kedua dengan Sufian akan kekal sehingga ke akhir hayat. Sementara itu, Mas Idayu memberitahu majlis pernikahan mereka dijadualkan berlangsung di Magica Victory, Quill City Mall Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi manakala resepsi diadakan hari sama pada sebelah malam.



"Setelah sekian lama hidup bersendirian dan tidak lagi percaya kepada perkahwinan, saya akhirnya terbuka hati untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri," tuturnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu '100% Cintaku' itu juga memberitahu dia dan Sufian memilih Santorini, Greece sebagai lokasi bulan madu lepas berkahwin.

"Insya-Allah selepas berkahwin saya akan berehat dan berbulan madu di Santorini selama dua minggu bagi meluangkan masa bersama suami," ujar Mas Idayu yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997, namun mereka bercerai pada 2006 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: