30 August 2022

"DEPAN KAMERA & DI RUMAH BERBEZA" - JOHAN TERKILAN SEGELINTIR PIHAK KURANG SENANG LIHAT PERKONGSIANNYA



"Johan yang anda lihat di depan kamera dan di rumah adalah dua individu berbeza. Di rumah saya adalah Yazid kepada anak-anak. Setiap perkongsian saya di media sosial adalah untuk pengikut tetapi ada yang bukan dalam kalangan pengikut mula 'berbunyi' dan mereka bercakap apa sahaja yang dimahukan.


"Itu membuatkan saya tak suka," kata pelawak dan penyampai radio Hot FM, Johan yang terkilan apabila terdapat segelintir pihak yang kurang senang melihat perkongsiannya di media sosial mengenai kehidupan di rumah bersama keluarga.

Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohd Aziz, 38, berkata, sebagai bapa dan ketua keluarga dia perlu menjadi individu terbaik dan tiada salahnya untuk berkongsi kebaikan kepada pengikut.

Klik untuk gambar besar



Baru-baru ini, tular video Johan sedang mengajar salah seorang anaknya mengaji sambil memegang rotan mendapat pelbagai respons ramai yang suka dan mengkritik cara didikannya terhadap anak-anak.

Menurut Johan, selagi masih bernyawa dia seboleh mungkin mahu memberikan didikan dan ilmu terbaik kepada anak-anaknya itu.

"Saya memang suka anak ramai kerana mereka ada pelbagai karakter dan saya bagi ilmu sama rata untuk mereka sebagai bekalan untuk terus hidup sekiranya saya sudah tiada suatu hari nanti.



"Semua ibu bapa pasti ada perasaan risau apabila anak-anak semakin membesar. Perkara sudah terjadi kepada diri saya sendiri. Nenek beragama Buddha tetapi ibu pula memilih jalan untuk memeluk Islam sebab itu pilihannya.

"Apa yang boleh saya lakukan adalah sentiasa berdoa. Sekarang ini anak-anak masih kecil dan mereka sentiasa doakan saya terus murah rezeki. Apabila sudah besar nanti, pasti mereka pula mengharapkan doa ibu bapa untuk berjaya," ujarnya.

Untuk makluman, Johan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ozlynn Wati dan dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania dan Nur Latifah Cherdiq.








         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: