"Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja. Sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik dan boleh menjadi teladan kepada masyarakat."
Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook, berhubung tindakan penyanyi Noh Salleh yang selamba memegang sebatang rokok ketika membuat kemunculan di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) Ahad lalu.
Dr Noor Hisham memaklumkan, pihaknya memandang serius terhadap isu berkaitan selebriti yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap rokok elektronik di khalayak ramai dan di pentas persembahan.
Tambah Dr Noor Hisham lagi, dari sudut kesihatan, tabiat menghisap rokok atau vape sememangnya mendatangkan kemudaratan sama ada kepada perokok atau pun orang sekeliling mereka.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menggesa golongan artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima dalam kalangan masyarakat.
Sebagai seorang selebriti katanya, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan. Ini juga kata Dr Noor Hisham selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sebelum ini, Noh menerima kecaman hebat netizen akibat tindakannya itu meskipun rokok berkenaan tidak dinyalakan. Rata-rata menyifatkan perbuatannya itu sebagai biadab kerana umum mengetahui tabiat merokok membahayakan kesihatan apatah lagi dia dijadikan idola oleh peminat.
Menerusi awal video yang tular di media sosial, Noh kelihatan seperti bertanya kepada penonton yang hadir meminta pemetik api untuk menyalakan rokok berkenaan.
________________________
No comments:
Post a Comment