14 August 2022

"KEADAAN KESIHATAN SAYA OK TAPI SESAK NAFAS MEMANG SELALU" - BOB LOKMAN



Pelakon dan penulis lirik popular, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 58, meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang menjalani kehidupan tenang di samping isteri, Relawati Daud dan anak-anak selain terus positif.


"Keadaan kesihatan saya ok saja sekarang. Alhamdulillah, tapi sesak nafas memang selalu. Dah tak boleh nak elak lagi. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan orang ramai yang sudi membantu saya dan keluarga dengan menghulurkan sumbangan mereka selepas berita keadaan kesihatan saya dipaparkan media sebelum ini.

"Alhamdulillah, masih ramai juga orang yang baik, prihatin dengan rela hati berkongsi rezeki mereka kepada saya sekeluarga. Begitu juga dengan doa-doa yang dititipkan buat saya agar sihat semula. Semoga Allah saja menghitung jasa ini ikhlas kerana-Nya," katanya kepada Harian Metro.

Bob yang berhadapan dengan masalah kesihatan jantung berkata, sehingga kini masih lagi ada orang yang tidak dikenalinya mengirimkan sumbangan kewangan ke ke akaun bank isterinya.

Menurutnya, dia juga menerima kunjungan tetamu dari Johor Bahru, termasuk sahabat lama seperti komposer dan pemain gitar BPR, Awang yang menziarahinya di Kelantan, baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar



Bob sebelum ini memaklumkan dia perlu banyak berehat dan tidak boleh terlalu aktif bergerak kerana cepat penat berikutan kekuatan jantungnya hanya tinggal 10 peratus.

Disebabkan itu, Bob tidak boleh berjalan jauh sekali gus terpaksa menangguhkan seketika urusan temujanji pemeriksaan jantung dengan pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada hujung Jun lalu.

Pada 8 April lalu Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut. Namun, akibat kekangan kewangan dialami dia hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta pulang ke Kelantan pada 24 April lalu.

Terdahulu, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan degupan jantungnya di HSB pada awal Disember 2020.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: