25 August 2022

KINI RESTU ANAK SULUNG ADA ILMU AGAMA JADI SELEBRITI - ABBY ABADI TAK MAHU DANISH ULANG KESILAPANNYA DULU



"Pada awalnya memang saya tidak melihat anak-anak saya akan terlibat dalam dunia seni, namun apabila dia ada minat ke arah itu saya tidak menghalang. Saya selalu nasihatkan dia supaya jangan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sentiasa menjaga hak Allah dan tahu batas dalam dunia lakonan. Saya tidak mahu dia ulang kesilapan yang pernah saya buat sebelum ini.


"Ketika berlakon dahulu saya pernah terleka dan saya tidak mahu ia terjadi kepada anak-anak," demikianlah jelas pelakon Abby Abadi yang memberitahu pengalamannya bergelar seorang selebriti sedikit sebanyak membuatkan dia bimbang jika anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim mengulangi kesilapan sama seperti mana dirinya pernah lakukan sebelum ini.

Kini merestui penglibatan anak lelaki terjun dalam bidang hiburan, Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 45, bagaimanapun berkata, dia sentiasa mengingatkan Mohamed Danish Hakim supaya tidak leka dan menjaga hubungan baik dengan Allah.

Klik untuk gambar besar



Danish, 19, merupakan anak lelaki pertama hasil perkahwinan Abby bersama pelakon Norman Hakim. Pemuda kacak itu merupakan seorang daripada 12 peserta program pencarian bakat Fit For Action yang bakal bersiaran di TV3 pada 3 September depan bermula pukul 10 malam.

Melihat latar belakang anaknya yang pernah mengikuti pengajian hafazan di Turkiye pada usia 14 tahun, Abby berharap Danish dapat menyampaikan mesej baik kepada penonton dan memberi manfaat kepada masyarakat.

"Ramai yang anggap seorang yang ada latar belakang agama tidak boleh masuk dalam dunia hiburan. Perkara tersebut harus diubah! Siapa tahu dengan ilmu yang dimiliki Danish dia boleh membawa orang lain untuk sama mendekati agama.



"Bukan satu kesalahan besar jika seseorang yang ada pendidikan agama terjun ke dunia seni kerana kalau pandai bawa diri, kerjaya apa sekali pun ia tidak ada sebarang masalah," tuturnya.

Sementara itu, menerusi Instagram bapanya iaitu Norman, pelakon itu turut mengingatkan Danish supaya cekal dan kuat menghadapi cabaran sebagai seorang anak seni.

"Jangan cepat 'koyak'. Sekali jatuh, bangkit 100 kali. Kita lelaki kena kuat dan kental. Kalau rasa down, bagi 30 saat untuk rasakan itu, kemudian terus tarik nafas dan lawan semula. Setinggi mana kita terbang, jangan sesekali lupa tanah asal usul kita. Ikut resam padi, makin tunduk, makin pada isi," tulisnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: