14 August 2022

SELAMAT NIKAH - AIZAT & ISTERI PILIH TULUM, MEXICO SEBAGAI DESTINASI BULAN MADU



Alhamdulillah... tahniah diucapkan kepada penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, 33, yang telah pun sah bergelar suami kepada pengurusanya, Elyssa Alia dengan sekali lafaz pagi tadi, selepas tiga tahun bercinta.


Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Left Kol (B), Ilias Moiden dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dalam satu majlis berlangsung di Puchong.

Pada majlis itu, Aizat menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan. Pihak pengantin lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran dibalas lima dulang daripada pengantin perempuan.

Menyifatkan perkahwinannya ini merupakan permulaan baru dalam hidupnya, Aizat bersyukur majlis dirancang lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Klik untuk gambar besar



"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua insan yang menjayakan majlis pernikahan ini. Saya berharap semua yang hadir gembira. Saya juga bersyukur dengan cuaca baik.

"Malam tadi, hujan lebat. Dalam perjalanan ke sesi latihan, tayar kereta saya pancit... Tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, saya bersyukur, ia tidak terjadi hari ini.

"Ini fasa baharu untuk kami. Saya tidak boleh fikir mengenai diri sendiri sahaja selepas ini. Saya kena minta nasihat dan pandangan isteri bagi perjalanan karier seni sekarang.



"Harapan saya menerusi perkahwinan ini adalah kami akan bertanggungjawab antara satu sama lain sampai ke hari tua. Saya harap kami dapat bina rumah tangga yang sihat daripada segi agama dan sebagainya," katanya yang popular dengan lagu 'Hanya Kau Yang Mampu' itu.

Aizat yang mula dikenali selepas bersaing dalam musim kelima program realiti, Akademi Fantasia (AF5) ini berkata, dia dan isteri akan berangkat ke Mexico selepas selesai tugasan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

"Kami ada lokasi impian iaitu Tulum, Mexico. Jadi, ketika saya ke Los Angeles untuk bekerja, kami akan pergi Tulum... Insya-Allah. Saya akan terbang ke Los Angeles, November depan... Insya-Allah. Rasanya kami akan menghabiskan masa sebulan di AS dan Mexico," tuturnya.



Sementara itu, Elyssa mengaku jatuh cinta dengan sikap baik hati Aizat yang disifatkan teman akrabnya. Dalam pada itu, Elyssa berkata, Tulum menjadi lokasi pilihan kerana dia sukakan pantai yang tenang dan santai.

"Saya tidak pernah kenal Aizat. Ketika namanya naik, saya berada di Australia. Saya cari melalui Google mengenai Aizat, tetapi tiada artikel berkaitan gosip ditemui.

"Jadi, saya percaya Aizat baik. Saya sukakan lelaki yang boleh jaga saya dengan baik. Dia pandai mengaji dan menjaga solat. Jadi, saya percaya Aizat boleh jaga dan membimbing saya. Apabila bersama Aizat, saya rasa tenang. Dia adalah kawan baik saya. Apa yang saya cakap, dia sentiasa layan.

"Impian saya adalah memiliki vila dan sekolah menyelam. Jadi, Tulum lokasi tepat untuk memulakan idea itu. Saya suka tepi pantai kerana ketenangan, saya tidak suka bandar," ujarnya.






























         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: